Laman Utama

RIM Tarik Nafas Lega Sektor Industri Kreatif Dibuka, Optimis Pengamal Industri Muzik Boleh Berkarya Semula

Maliah Surip
16/09/2021
08:45 MYT
Sponsor Banner
RIM Tarik Nafas Lega Sektor Industri Kreatif Dibuka, Optimis Pengamal Industri Muzik Boleh Berkarya Semula
Pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai pembukaan semula sektor industri kreatif negara memberi nafas lega kepada ramai pengamal sektor industri kreatif termasuk industri muzik.
Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) serta ahli-ahli mereka amat gembira dan berterima kasih atas berita yang dinantikan ini kerana ia akan membuka laluan untuk pemulihan industri muzik tempatan secara beransur.
Rosmin Hashim, Pengerusi RIM mengucapkan terima kasih kepada para pegawai di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) atas usaha mereka dalam memungkinkan pembukaan semula sektor industri kreatif negara.
"Sejak penguatkuasaan pelbagai lelaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu, banyak projek rakaman lagu baru dan produksi video muzik ahli-ahli kami terpaksa ditunda.
"Selama tempoh ini, apa sahaja rakaman baru yang dapat dilakukan dibuat secara maya di rumah artis-artis berkenaan dan di studio penerbit. Produksi video muzik juga terhad kepada penggambaran di studio menggunakan teknologi layar hijau”.
"Penurunan mendadak dalam jumlah rakaman muzik baru yang dihasilkan oleh ahli-ahli kami mengurangkan banyak peluang pekerjaan bagi ramai pengamal industri muzik yang sumber pendapatan mereka bergantung kepada pelaburan berterusan dalam rakaman muzik baru oleh ahli-ahli kami.
"Projek rakaman yang terhenti semasa PKP menyebabkan pengurangan pendapatan yang ketara bagi penulis lagu, penyanyi, pemuzik, penyusun muzik, penerbit, studio rakaman dan ramai lagi pengamal dalam ekosistem industri muzik. Di samping itu, dengan penutupan pusat-pusat hiburan, penyanyi dan pemuzik juga tidak dapat memperolehi pendapatan dari persembahan langsung mereka dan merekalah yang paling teruk terkesan semasa tempoh PKP. Industri berkaitan seperti penganjur konsert, pusat karaoke dan pusat hiburan lain turut mengalami impak pengurangan pendapatan yang besar”, jelas Rosmin.
Menurutnya, situasi lalu amat memudaratkan bagi ramai pengamal industri muzik seperti yang kerap dipaparkan di media semasa. Ada berita mengenai seorang penulis lagu veteran yang terpaksa mencari makanan di dapur sup (soup kitchen) untuk bertahan. Bahkan ramai penyanyi dan pemuzik tempatan yang terpaksa menaikkan "bendera putih" mereka sendiri untuk mendapatkan bantuan.
"Melalui dana kecemasan RIM, kami dapat memberikan bantuan kepada sejumlah pengamal industri muzik yang menghadapi masalah kewangan. Namun, ini adalah bantuan jangka pendek dan sektor industri muzik harus dibuka semula untuk membolehkan pengamal industri muzik kembali meraih pendapatan menerusi pekerjaan yang dibuat sebelum ini”, tambahnya lagi.
Melihat industri muzik kini dibuka semula, Rosmin mengatakan pihak RIM melihat masa depan yang lebih cerah.
Sebagai badan muzik “de facto” yang memperjuangkan, melindungi dan mendorong perkembangan industri muzik tempatan melalui pelbagai inisiatif, RIM akan terus memainkan peranannya dalam membangunkan industri muzik tempatan.
"Dalam hal ini, kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua badan muzik dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk membantu dalam pemulihan dan pertumbuhan industri muzik tempatan di masa hadapan," Rosmin mengakhiri kata.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila lawati www.rim.org.my atau ikuti kami di facebook.com/RecordingIndustryMalaysia, @recordingindustrymalaysia di Instagram dan @rim_malaysia di Twitter.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024