Hiburan

"Pertama Kali Jadi Hantu... Sangat Berat!" - Bima Azriel

Kamaruddin Razal
02/10/2018
12:01 MYT
Sponsor Banner
"Pertama Kali Jadi Hantu... Sangat Berat!" - Bima Azriel
Pelakon cilik Indonesia, Bima Azriel berkongsi pengalamannya memegang watak seorang kanak-kanak misteri dalam drama bersiri Sembilan.
Popular menerusi filem Surat Kecil Untuk Tuhan, karya ini juga menjadi pembuka langkah untuk Bima mengembangkan bakatnya di Malaysia.
"Ini pengalaman pertama saya berlakon dengan di Malaysia. Drama bersiri Sembilan ini juga menjadi karya pertama yang memerlukan saya membawa watak kanak-kanak misteri.
"Saya pernah berlakon dalam karya seram, tetapi tidak pernah berlakon watak sebegini... Pertama kali jadi hantu, ia sangat berat bagi saya. Tetapi atas bantuan pengarah dan pelakon senior lain, saya boleh menjayakannya.
"Saya berharap watak kanak-kanak yang bernama Taduh ini dapat menjadi satu karakter yang diingati penonton kelak," kata Bima.
Tambah Bima, dia juga senang bekerjasama dengan pengarah drama bersiri Sembilan, Razaisyam Rashid.
"Senang bekerja dengan pengarah dan produksi Malaysia. Saya sudah rasa seperti satu keluarga besar, lebih-lebih lagi waktu penggambaran yang mengambil masa sangat lama," katanya.
Drama mini bersiri 10 episod ini mengangkat genre seram dan ia merupakan sebuah lagi naskah premium eksklusif yang menyaksikan kolaborasi nusantara antara Malaysia dan Indonesia di bawah payung penjenamaan ‘Astro Original Series’.
Sesi penggambaran memgambil masa lebih kurang 75 hari dan baru sahaja selesai baru-baru ini.
Antara lokasi utama penggambaran dijalankan di Malaysia iaitu Kampung Orang Asli Kuala Boh (Cameron Highlands), Sungai Lembing (Pahang), sekitar Kuala Lumpur dan Studio Pinewood Iskandar (Johor Bahru).
Drama ‘Sembilan’ ini juga dijangka menemui penonton secara eksklusif di saluran Astro Citra (131) pada bulan Februari 2019.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024