Laman Utama

Pernah Simbah Petrol Pada Badan Akibat Depresi, Karl Shafek Mahu Didik Orang Ramai Tentang Kesihatan Mental - “Saya Harap Yang Struggle Macam Saya Akan Pulih”

Izwan Isa
09/11/2021
05:50 MYT
Sponsor Banner
Pernah Simbah Petrol Pada Badan Akibat Depresi, Karl Shafek Mahu Didik Orang Ramai Tentang Kesihatan Mental - “Saya Harap Yang Struggle Macam Saya Akan Pulih”
Sudah hampir dua tahun pengacara dan pereka fesyen streetwear, Karl Shafek bertarung dengan diri sendiri selepas mengalami masalah mental sehingga menyebabkan depresi.
Sungguhpun diuji sedemikian rupa, namun, Karl sentiasa positif dan ampuh dalam meneruskan kehidupan di samping melestarikan kerjayanya dan bidang seni dan fesyen.
“Alhamdulillah, kalau nak ikutkan keadaan saya semakin pulih. Walaupun saya masih perlu makan ubat sejak mengalami masalah berkenaan sekitar dua tahun lalu, namun saya tidak pernah alami insiden-insiden pelik seperti dulu.
“Tambahan pula, saya masih lagi mengikuti sesi kaunseling yang telah ditetapkan oleh pihak hospital. Saya berasa gembira kerana telah nampak perubahan pada diri sendiri,” katanya kepada Gempak.
Karl ditemui pada acara pertunjukan fesyen Neonate Clothing di Kuala Lumpur Fashion Week 2021 yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.
Mengimbau kembali saat dirinya dibelenggu depresi, Karl berkata, ada beberapa perkara yang dilakukan ketika itu sehingga hampir meragut nyawanya sendiri.
“Saya bukanlah kata saya mahu bunuh diri, tetapi ketika itu saya seperti mahu mengakhiri rasa sakit. Sehinggakan, saya memandu kereta tanpa sedar dan menyimbah petrol pada badan.
“Tetapi, pada waktu itu, tiada sesiapa tahu melainkan keluarga dan teman rapat. Sehinggalah doktor yang merawat saya memberikan lampu hijau, baru saya berani bercerita dengan orang ramai,” katanya.
Ditanya pula tentang tanggapan orang ramai terhadap selebriti yang kerap terkait dengan masalah mental, Karl berkata: “Ramai yang kata mereka yang mengalami masalah mental ini suka mencari perhatian, tetapi bagi saya, tanggapan itu salah.
“Hal ini kerana, ada yang benar-benar disahkan menghidap masalah mental dan ada juga yang self-claim mengalami masalah berkenaan. Apa pun, saya harap yang struggle macam saya akan pulih,” katanya lagi.
Berkenaan dengan koleksi baharu Neonate Clothing, Karl berkata, koleksi berjudul Noir itu diinspirasikan daripada pengalamannya berperang dengan kesihatan mental, di samping kepayahan yang dilalui oleh rakyat Malaysia sewaktu negara di serang COVID-19.
“Selalunya, koleksi Neonate menampilkan warna-warna terang. Namun, disebabkan mengambil inspirasi daripada hal-hal yang ‘muram’ kami bercadang untuk menampilkan warna-warna gelap untuk koleksi kali ini.
“Saya harap agar setiap mesej yang ingin saya sampaikan melalui koleksi ini dapat diterima oleh penggemar fashion di luar sana,” katanya.
Menampilkan sebanyak 30 rekaan, koleksi Noir yang turut disokong oleh Kamya Glow dipersembahkan oleh barisan muse pilihan Neonate iaitu Nam Ron, Abdul Latif Romly, Sabronzo daripada kumpulan pop Dolla, Sissy Iman, Yonny Boii, jurusolek popular Bosco dan Aidil Maula.
***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak! Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024