Laman Utama

Pelakon 'Hati Yang Dikhianati' Zaki Azeman Selamat Bertunang Dengan Adik Jaa Suzuran - "Kami Bakal Nikah Pada ..."

Amri Hassan
03/02/2022
23:55 MYT
Sponsor Banner
Pelakon 'Hati Yang Dikhianati' Zaki Azeman Selamat Bertunang Dengan Adik Jaa Suzuran - "Kami Bakal Nikah Pada ..."
Pelakon drama rantaian popular Hati Yang Dikhianati, Zaki Azeman, 28, telah selamat melangsungkan pertunangan dengan pilihan hatinya, Raa Suzuran, 23, pada 2 Februari lalu.
Majlis berlangsung selepas waktu Zohor di kampung halaman Raa di Kota Bharu, Kelantan dan hanya dihadiri keluarga serta kenalan rapat.
Kata Zaki atau nama penuh, Muhamad Zaki Azeman, majlis pernikahannya bersama adik kepada selebriti media sosial, Jaa Suzuran dijangka akan berlangsung selepas hari raya Aidilfitri nanti.
"Kami pilih tarikh 2.2.22 sebab angkanya cantik untuk diingati.
"Insya-Allah kami merancang untuk mendirikan rumah tangga selepas raya nanti," katanya.
Tambah Zaki, dia mula mengenali Raa sejak hampir empat tahun lalu.
"Dia bekerja sebagai penstrim di laman sosial dan juga menjadi 'influencer'.
"Malah menerusi media sosial juga kami kenal. Daripada Instagram kami jadi lagi rapat apabila selalu bermain permainan atas talian bersama," katanya.
Anak jati Perlis yang mula dikenali selepas membintangi drama, Isteri Bukan Untuk Disewa arahan Osman Ali itu percaya pada rezeki biarpun membuat keputusan untuk berkahwin ketika nama masih baru dalam dunia seni.
"Ada yang tanya tak takut ke nak bertunang dan seterusnya berkahwin ketika nama masih hijau? Saya percaya soal itu berbalik kepada rezeki dan tuah.
"Urusan jodoh pun ketentuan-Nya. Mana yang baik, saya jalani sebaik mungkin," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zaki rancak menjalani penggambaran drama Suci Dalam Debu arahan Datuk Jurey Rosli dan bakal memulakan penggambaran Bisik-Bisik Gelora tidak lama lagi.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024