Laman Utama

Pelakon Baru Kayu, Tak Serius Punca Isma Yusof Diserang Bipolar Di Set - "Harapkan Rupa Saja..."

Amri Hassan
01/03/2021
15:25 MYT
Sponsor Banner
Pelakon Baru Kayu, Tak Serius Punca Isma Yusof Diserang Bipolar Di Set - "Harapkan Rupa Saja..."
Pelakon dan pengarah Isma Yusof diserang gangguan bipolar ketika penggambaran drama terbaharunya Shah Alam 40K (40,000) ekoran berdepan tekanan pelakon baru yang 'kayu'.
Ekoran gangguan tersebut tugas Isma terpaksa digantikan oleh dua pengarah lain iaitu Nizam Zakaria dan Bahri Umar.
Kecewa dengan sikap segelintir pelakon yang tidak serius terhadap skil lakonan sendiri, kata Isma dia tidak menolak puncanya disebabkan terlalu bergantung pada media sosial hingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelakon.
"Seperti yang anda sedia maklum saya kini sedang mengarahkan drama bersiri Shah Alam 40k. Bagaimanapun untuk beberapa hari lalu, kawan-kawan saya seperti Nizam Zakaria dan Bahri Umar terpaksa turun padang menggantikan kerja saya.
"Sebenarnya saya ada penyakit bipolar dan ia mudah menyerang jika ada perkara-perkara buruk berlaku seperti masalah lakonan pelakon yang menyakitkan hati.
"Saya bercakap mengenai sikap pelakon baru yang ambil mudah terhadap kerja mereka. Saya tak tahu apa puncanya, namun mungkin zaman media sosial seperti Instagram dan Tik Tok menyebabkan terlalu banyak gangguan sehingga tidak boleh fokus," katanya menerusi video 11 minit yang dimuat naik di IGTV.
Lebih mengusutkan Isma apabila ada pelakon baharu yang tampil ke set penggambaran tanpa persediaan lengkap hingga mengusahkan pihak lain.
"Beberapa pelakon dalam drama ini sangat baru. Saya lihat mereka masuk set tanpa apa-apa ilmu langsung, malah mereka menganggap datang ke set penggambaran untuk belajar berlakon.
"Sebenarnya kalian silap, kalian jangan anggap lokasi penggambaran adalah tempat pembelajaran. Kalau nak belajar di sekolah, lokasi ini adalah tempat kalian bekerja.
"Jadi takkan di lokasi penggambaran kalian nak belajar berlakon. Cuba bayangkan kalau tiba-tiba jurumekap atau jurukamera datang ke set dalam keadaan yang tidak tahu apa nak buat, sudah tentu kalian tak boleh nak hadam.
"Jadi macam mana pula pelakon baru yang tiada ilmu berlakon tiba-tiba datang set dan berharap seseorang untuk ajar berlakon sedangkan kalian dibayar untuk kerja terbabit. Bukannya kalian bayar kami untuk mengajar kalian berlakon. Jadi, saya rasa ini satu masalah dalam industri seni sekarang," tambahnya.
Isma turut menegur sikap penerbit dan stesen penyiaran yang cenderung memilih bakat baharu yang tiada asas lakonan.
Produser pun main ambil saja. Janganlah hanya kerana dia menang pertandingan pencarian bakat atau ratu cantik atau memiliki jumlah pengikut ramai, tapi menyusahkan satu set.
"Stesen televisyen pun, main petik dan panggil pelakon entah siapa-siapa yang tiada ilmu lakonan langsung. Harapkan rupa saja, tapi nak minta kami yang tunjuk ajar dan didik mereka semua. Memang tak bolehlah.
"Kepada pelakon baru yang dapat tawaran berlakon watak besar tolonglah masuk kelas lakonan dulu. Banyak saja yang tawarkan khidmat kelas asas lakonan.
"Bayarlah untuk kelas lakonan itu kerana bayaran lakonan yang kalian terima agak tinggi jika nak dibandingkan dengan bayaran pekerja produksi.
"Masuk kelas lakonan untuk faham skil lakonan dulu supaya tidak menyusahkan kami yang berada di set. "Kepada pengurus juga, jika dah tahu pelakon kalian kayu sila hantar mereka ke kelas lakonan. Jangan harapkan pengarah untuk ajar pelakon anda yang kayu ini," getusnya.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024