Laman Utama

Natasha Charmaine Rickson 'Pandu' Sinema Jadi Jambatan Finas Dekati Golongan Muda

Maliah Surip
24/03/2021
07:20 MYT
Sponsor Banner
Natasha Charmaine Rickson 'Pandu' Sinema Jadi Jambatan Finas Dekati Golongan Muda
FINAS Malaysia mengorak langkah secara lebih komersil menerusi penerbitan Sinema, sebuah program infotainment mingguan sebagai antara usaha bagi mendekati khalayak, terutama golongan muda.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata corak persembahan Sinema lari daripada cara konvensional dalam penyampaian maklumat, termasuk membabitkan berita Kerajaan.
“Jadi, apa yang kita buat dengan Sinema ialah cuba untuk memberi nafas baharu dengan cara menyalurkan berita-berita, agenda Kerajaan, program-program FINAS, agenda-agenda FINAS dalam bentuk yang lebih komersil dan lebih santai, lebih kepada youth oriented, lebih kepada anak-anak muda.
“Ini kerana, kita nak lari sedikit daripada cara konvensional (memperlihatkan) kalau berita Kerajaan ini hanya sekadar di rancangan Berita, sekadar di pengumuman khidmat masyarakat atau PSA.
“Jadi, Sinema ini kita buat dalam bentuk infotainment, yang mana kita sasarkan untuk tarik lebih ramai generasi muda untuk menonton atau pun mendengar berita-berita yang akan keluar daripada FINAS,” katanya.
Apatah lagi, menurutnya dalam dunia teknologi sekarang ini yang memerlukan FINAS untuk mengubah pendekatannnya dalam menarik perhatian khalayak supaya tidak kelihatan terus berada di takuk lama.
“Kalau kita lihat daripada dunia teknologi sekarang dan kalau kita tengok dunia penonton sekarang yang lebih pada media sosial, lebih kepada platform-platform digital macam YouTube, jadi kita di FINAS tidak boleh ketinggalan,” katanya.
Padat dengan informasi yang menjurus pada industri perfileman dan drama tanahair serta luar negara, Sinema tampil dengan wajah dan rasa lebih segar yang dimantapkan dengan hos baharu, Natasha Charmaine Rickson.
"Semestinya apabila kita buat sesuatu program, nilai hiburan itu tidak boleh lari. Cuma bezanya apabila kita buat Sinema ini, kita nak penonton dalam tema hiburan itu dapat mesej-mesej penting yang menjurus kepada aktiviti dalam FINAS dan juga kementerian dan Kerajaan dapat juga kita salurkan.
"Di sebalik itu, kita juga ada berita-berita mengenai industri hiburan, artis-artis terkini yang mana sesetengah cerita pihak luar mungkin tidak boleh dapat. FINAS sebagai agensi yang bertanggungjawab menyalurkan agenda Kerajaan, mereka boleh dapat. Cuma bezanya penyaluran itu dibuat secara lebih komersil, lebih santai, lebih berjiwa muda.
"Jadi, sebab itu kita berasakan penonton, dalam dia menonton Sinema, dia tidak rasa macam menonton satu berita yang mungkin dikata berita-berita yang terlalu serius tapi dia akan terhibur dengan rancangan itu kerana dengan hosnya, dengan muziknya, dengan montajnya, dengan bentuk persembahan, bentuk pertanyaan itu mereka akan terhibur dan pada masa sama, informasi sampai kepada mereka," katanya lagi.
Dirakam di set baharu yang berkonsep futuristik, Sinema juga dibawa ke kaca televisyen, hasil kerjasama antara FINAS dan Bernama.
Mulai 20 Mac lalu, Sinema bersiaran secara eksklusif selama 30 minit di Bernama TV pada setiap Sabtu, jam 8.30 malam. Bernama TV boleh ditonton di Astro saluran 503, Unifi TV 631, myFreeview 121, Live Facebook dan YouTube Bernama TV. Ia juga akan disusuli siaran di YouTube FINAS Malaysia pada setiap Ahad, jam 9 malam.
Kredit Foto: Rafi Rahman
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024