Laman Utama

“Nak Takut Vaksin Atau Virus?” - Pemuda Kongsi Pengalaman Jadi Sukarelawan, Minta Jangan Percaya Teori Konspirasi

Hanafis Haris
23/02/2021
12:50 MYT
Sponsor Banner
“Nak Takut Vaksin Atau Virus?” - Pemuda Kongsi Pengalaman Jadi Sukarelawan, Minta Jangan Percaya Teori Konspirasi

Seorang pemuda menarik perhatian warga maya apabila menjadi sukarelawan vaksin COVID-19 sejak 26 Januari lalu.

Menceritakan kepada Gempak, Malek Redzuan berkata, dia menyertai sukarelawan kajian keberkesanan dan keselamatan vaksin, ditaja oleh Institut Perubatan Biologi Akademi Sains, China.

Menurutnya, kajian itu mengambil masa selama 13 bulan dan memerlukan lawatan ke hospital sebanyak lima kali yang disertai 3000 sukarelawan seluruh negara.

“Kajian ini bukan di Malaysia sahaja negara lain juga turut serta.

“Sebelum disahkan sebagai sukarela, perlu jalani tapisan, hadir taklimat di google meet, lulus ujian swab dan HIV.

“Bagi yang pernah ada sejarah jangkitan COVID-19, sejarah penyakit kronik tidak layak sertai,” katanya.

Jelasnya, untuk kajian fasa ketiga ini, kedua-dua belah pihak pengkaji dan sukarela tidak akan tahu sama ada disuntik dengan vaksin atau placebo.

“Vaksin Sars-Cov-2 (VeroSel) Tidak Aktif mengandungi antigen (s-protein).

“Manakala Placebo pula ialah larutan garam fosfat dengan bahan tambahan aluminium hidroksida dan glisin TANPA antigen Sars-Cov-2.

“Sekumpulan sukarela disuntik secara rawak sama ada dengan vaksin atau placebo.

“Fast forward pada 2hb Feb saya dah terima suntikan dos pertama, sebanyak 0.5ml. Sebelum dapat suntikan ini, sukarela perlu isi Borang Persetujuan terlebih dahulu dan beri beberapa maklumat status kesihatan di hadapan doktor.

“Maklumat lain juga perlu contohnya kalau sedang consume apa-apa supplement mesti declare dan direkod. Kemudian di situ juga perlu jalani ujian tekanan darah, ukur tinggi dan timbang berat, dan pengambilan suhu mulut. Selesai itu barulah disuntik dengan vaksin atau placebo,” katanya.

Tambahnya, untuk suntikan pertama, dia tida alami apa apa side effect yang teruk.

“Melainkan rasa terlebih aktif dan happy. Dua minggu berlalu tak ada apa apa terjadi, saya masih sihat seperti biasa.

“Saya fikir mungkin saya telah disuntik bukan vaksin iaitu placebo. Ya lah, kita tak tahu, ini double-blinded.

“Pada 16 Feb saya telah terima suntikan dos kedua sebanyak 0.5ml, mencukupkan 1.0ml kesemuanya. Jarak antara dos pertama untuk terima dos kedua ialah selama 14 hari.

“Untuk suntikan kedua ini sama juga tidak ada kesan ketara cumanya selepas injection ada rasa sedikit gatal dan lenguh di lengan yg dicucuk. Perasaan ini sama bagi mana-mana suntikan vaksin yg pernah saya terima sebelum ini.

“Selain itu, pada hari pertama suntikan ini diterima ada sedikit rasa keletihan dan pening yang ringan. So balik rumah berehat, tidur dan hari ini takda lagi perasaan letih dan pening. Hidup macam biasa. Side effect terlalu minimal,” katanya.

Menurutnya lagi, kini sudah memasuki minggu ketiga dalam ujikaji vaksin dan dia masih punyai dua kali lawatan ke hospital.

Anyway, lately terlampau banyak sangat teori yang kata penerima vaksin ini juga akan disuntik mikrocip ke lengan.

“Entahlah, ini sesuatu yang sangat merepek dan tak masuk akal. Bayangkan nak suntik mikrocip ke lengan, tak munasabah dengan saiz jarum berbanding saiz mikrocip yang dimasukkan melalui jarum.

“Mungkin ramai yang rasa takut untuk mengambil vaksin kerana terlalu banyak teori-teori konspirasi yang adakala terlebih tak masuk dek akal dan yang peliknya ramai orang percaya bulat bulat lebih dari percaya kepada kajian saintifik.

“Ramai juga yang tanya tak takut mati ke dengan vaksin ni? Sekarang dunia berada dalam pandemik yang mengancam banyak nyawa. Kalau kita takut vaksin, apakah sama dengan perasaan takut kepada virus?

“Nak takut vaksin atau virus? Tak ambil vaksin pun kita mati, ambil vaksin pun akhirnya akan mati. Kita ambil vaksin kerana sebolehnya nak reduce kadar jangkitan.

“Kita perlu terus jalani kehidupan, putuskan rantaian jangkitan virus ni.

“Sebagai sukarela, kami telah mengalah dalam giliran mengambil vaksin yang Kerajaan akan roll out tak lama lagi.

“Sepanjang kajian ini sukarela tak boleh ambil mana-mana vaksin bagi memastikan keberkesanan kajian ini. Kalau giliran anda tiba, sebolehnya ambil lah vaksin.

Take care and stay safe,” katanya.

Sukarelawan Vaksin, Khidmat Negara 26 Jan lalu saya sertai sukarelawan kajian keberkesanan dan keselamatan vaksin,...
Posted by Malek Redzuan on Wednesday, February 17, 2021
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024