Laman Utama

Misi Bantuan Ebit Lew Ke Gaza Dipertikai, Nadir Al-Nuri Bongkar Lima Perkara Ini - "Saya Amat Terkejut & Tidak Menyangka..."

Asraf Aided
21/07/2021
04:19 MYT
Sponsor Banner
Misi Bantuan Ebit Lew Ke Gaza Dipertikai, Nadir Al-Nuri Bongkar Lima Perkara Ini - "Saya Amat Terkejut & Tidak Menyangka..."
Nama Nadir Al-Nuri bukanlah asing dalam misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin di Gaza sejak tahun 2013.
Malah, Nadir juga dikenali sebagai individu yang berperanan dalam urusan sesiapa yang mahu masuk ke Gaza.
Terbaru, Nadir membuat teguran tentang isu pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew bersama pasukannya masuk ke Gaza yang kini sedang viral.
Menurut Nadir, teguran itu bukan atas dasar perasaan iri hati atau memperlekehkan perjuangan seseorang, namun dibuat atas dasar kasih sayang agar dapat dijadikan iktibar oleh pasukan Ebit Lew, semua yang terlibat, serta dirinya sendiri.
Ini lima teguran Nadir terhadap pasukan Ebit Lew yang ditulis menerusi Telegram:
1) Pasukan Ebit Lew Tidak Memaklumkan Keadaan Di Kaherah Cetus Kerisauan
Nadir berpendapat, pasukan Ebit Lew sepatutnya memaklumkan tentang keadaan mereka di Kaherah (Cairo), Mesir. Namun beberapa minggu mereka tidak berkongsi sebarang perkembangan, sehingga Ebit Lew sendiri muncul di Instagram pada 12 Jun lalu memaklumkan keadaan selamat dan baik-baik sahaja.
Kata Nadir, tempoh 'sepi' itu dilihat mencetus kerisauan rakyat Malaysia dan media.
BACA: Terlerai Resah! Ebit Lew Akhirnya Muncul Semula Di Media Sosial Selepas 2 Minggu 'Hilang'
"Semasa tim EL di Cairo, saya cuba beberapa kali untuk berhubung dengan tim EL untuk mendapatkan perkhabaran tetapi tiada sebarang maklum balas. Sehingga rakyat Malaysia dan media menjadi risau tentang kehilangan ‘Hero Malaya’.
"Selama sebulan tim EL terus sepi, timbul pelbagai spekulasi keselamatan terancam dan sebagainya, walaupun hakikat ia jauh dari kebenaran. Tim EL dimaklumkan rakan-rakan di Cairo masih di bilik hotel, boleh pergi bersiar-siar di kawasan pelancongan Husein dan melawat piramid (seperti post oleh PAnya) sambil menunggu usaha agar diberi kebenaran memasuki ke Gaza," tulisnya.
2) Pembelian Bantuan Sepatutnya Dibeli Di Gaza, Bukan Dibawa Dari Kaherah
Menurut Nadir, dia telah memaklumkan kepada media tentang cara terbaik memberi bantuan ke penduduk Gaza adalah dengan membeli barangan keperluan dalam pasaran Gaza.
Jika barangan dibeli dari Kaherah, ia menyukarkan proses membawa masuk bantuan tersebut ke Gaza seperti yang pernah dialami oleh kebanyakan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seluruh dunia sebelum ini.
"Sebelum ini saya pernah memaklumkan kepada media bahawa cara terbaik untuk memberi bantuan ke dalam bumi Gaza adalah dengan pembelian barangan keperluan di dalam pasaran tempatan di Gaza, kerana terdapat banyak kebaikan yang boleh dimanfaatkan terus kepada masyarakat yang memerlukan.
"Amat terkejut bila mana saya melihat di media sosial pembelian barangan bantuan 4 lori yang dibeli di Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza.
"Persoalan lain pula timbul di mata masyarakat bagaimana barang-barang yang sudah di beli di Cairo tersebut? Adakah bantuan ini sudah berjaya masuk? Setahu saya ia masih lagi tersadai di Mesir beserta bantuan-bantuan lain yang tidak dibenarkan masuk lagi pun.
"Bukankah ia satu pembaziran? Saya menyeru pihak tim EL untuk berani tampil memberi pencerahan dan penjelasan supaya tidak timbulnya bibit-bibit fitnah lain," tulisnya.
3) Perkara Kecil Disalah Erti
Menurut Nadir, ada ayat daripada percakapannya mencetuskan salah faham pihak Ebit Lew sehingga dia menerima layanan kurang baik ketika menyambut pasukan itu tiba di Gaza.
Nadir mengatakan, Ebit Lew juga berjalan jauh daripadanya dan tidak menegur ketika duduk bersebelahan.
"Saya ditolak wakil Kementerian Luar berada di barisan hadapan menyambut rombongan dan apabila turun dari bas, sebahagian tim bersalam sedangkan separuh lagi termasuk EL berjalan jauh daripada saya.
"EL yang duduk di sebelah langsung tak menegur, tak menghulurkan tangan untuk bersalam dan barangkali kerana kepenatan tergesa-gesa untuk bangun semula.
"Saya tidak menyangka bahawa dengan sepatah ayat yang disalah tafsir sebagaimana disebutkan PA EL saya langsung tak diberi peluang untuk bercakap dengan tim dan EL dan yang disebutkan kepada saya oleh seluruh tim hanya dua ayat sahaja, jangan buat LIVE dan delete semua gambar," kongsinya lagi.
4) Kehadiran Tiga Hari Sukar Tinggalkan Kesan
Nadir mendakwa, kehadiran pasukan Ebit Lew di Gaza hanya memakan masa tiga hari dan ia disifatkan terlalu singkat untuk meninggalkan kesan.
"Saya juga hanya menenangkan pasukan yang mengurus mereka dari Persatuan Bulan Sabit yang mengadu tim susah diurus dan meminta dilaksanakan projek yang tidak logik dalam masa yang singkat.
"Betul seperti apa yang disebutkan, mungkin Malaysia tahu tentang kehadiran mereka di Gaza tetapi untuk bumi Palestin, kehadiran 3 hari pastinya sukar untuk meninggalkan kesan.
"Satu saja berita aktiviti yang dijalankan mereka yang saya jumpa dikongsikan di akhbar tempatan (atau lebih tepat grup telegram tempatan) dengan janji sumbangan 250 ribu dollar untuk membangunkan muzium perjuangan Palestin di Gaza, suatu projek yang saya ‘SALUTE’ dan pastinya menunggu pelaksanaan oleh rakyat di sini," tulisnya.
5) Pasukan Ebit Lew Beri Kesan Kepada Pihak Lain
Menurut Nadir, kaedah yang digunakan pasukan Ebit Lew memasuki Gaza memberi kesan kepada NGO lain kerana sebelum ini, kebanyakan NGO berjaya masuk melalui cara bersama Miles of Smiles.
Namun, kini mereka terpaksa menggunakan cara baru dengan membayar syarikat harga yang tinggi.
"Kenapa kaedah tim EL memberi kesan besar kepada NGO lain? Kerana kalau sebelum ini banyak NGOs boleh masuk melalui cara lama bersama Miles of Smiles, kini mereka terpaksa menggunakan cara baru dengan membayar kepada syarikat harga yang tinggi.
"Ini kerana hasil desakan dan kesungguhan pihak kerajaan membuat kerjasama Malaysia-Mesir hanya untuk melepaskan misi tim EL berjaya masuk ke Gaza tidak kira berapa pun kos yang perlu di bayar tanpa menghiraukan kesan besar selepas itu. Hasil desakan tersebut mereka berjaya masuk dengan syarat penggunaan khidmat syarikat Hala untuk masuk.
"Syarikat Hala bukan rahsia untuk penduduk Gaza. Khidmat tersebut boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang mampu membayar kosnya, iaitu $1200/orang untuk orang tempatan bagi perjalanan masuk dan keluar ke Gaza dan dengan bayaran tersebut akan mendapat layanan istimewa tanpa perlu berhenti di banyak checkpoint dan berhenti di ‘bottle neck’ merentas Terusan Suez yang biasanya mengambil masa 2,3 hari untuk dilalui.
"Untuk orang luar pastinya bayaran yang dikenakan lebih mahal, lebih-lebih lagi kalau hendak diberi layanan VVIP dengan iringan kenderaan berperisai dan sebagainya," tulisnya.
Dalam pada itu, Nadir memohon pihak Ebit Lew tampil memberi penjelasan tentang beberapa perkara yang disebutkan termasuk sumber wang yang dibelanjakan untuk dibayar ke syarikat Hala, penginapan dan barangan sumbangan.
"Adakah pihak EL bersedia memberi penerangan sekiranya ratusan ribu dollar yang dibayar ke syarikat Hala, untuk penginapan, barangan sumbangan yang dibeli untuk agihan sama ada yang terdampar di Cairo atau yang dibeli di Gaza? Sekiranya perbelanjaan tersebut datang dari poket sendiri, sahhah wa afiyah, terima kasih dan teruskan usaha murni ini. Sekiranya tidak, ambillah tanggungjawab memberi penerangan kepada semua penderma supaya tidak timbul bibit-bibit fitnah yang lain.
"Saya mengambil masa yang lama memikirkan sama ada menulis coretan ini atau tidak. Saya tidak kisah dengan makian dan cacian netizen kerana di balik apa yang zahir, sangat ramai yang memberikan sokongan dan meneruskan sumbangan.
"Tetapi tanggungjawab mengurus NGO dan melakukan kebajikan ini tanggungjawab sosial, ia bukan semata dengan mengirim gambar dan meraih sokongan awam tetapi ia amanah yang akan ditanya di hadapan Allah kelak dan sepatutnya pengurusan setiap NGO khususnya masuk keluar sumbangan wajar ditanya oleh penderma yang bijak.
"Seruan saya kepada pihak Tim EL, beranilah tampil untuk memberikan penerangan dan penjelasan tentang beberapa perkara yang disebutkan daripada melihat jutaan netizen mencipta fitnah dan bertelagah sesama sendiri," akhirinya.
Perkongsian Nadir boleh dibaca menerusi pautan ini.
Baru-baru ini, nama Ebit Lew juga disebut Caprice yang tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan masuk ke Gaza.
Susulan itu, warganet mengecam tindakan Caprice sehingga mendakwa dia berdengki dengan penceramah bebas tersebut.
Bagaimanapun, Caprice telah tampil memohon maaf secara terbuka dan akui kesilapannya yang bertindak mengikut emosi.
BACA: Mengaku Bertindak Ikut Emosi, Caprice Mohon Maaf Kepada TMJ, Hishamuddin, Ebit Lew & Malaysia
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar