Laman Utama

Mak Yong Kelantan, Barongan Seni Reog Antara Tarikan Pentas Seni Merdeka 2023!

Amri Hassan
21/08/2023
18:46 MYT
Sponsor Banner
Mak Yong Kelantan, Barongan Seni Reog Antara Tarikan Pentas Seni Merdeka 2023!
Pentas Seni Merdeka kembali sebagai platfom di Kuala Lumpur bagi penggiat seni tradisional, budaya dan warisan negara dan serantau.
Platform ini menampilkan persembahan, bengkel dan aktiviti yang menekankan pemeliharaan dan penghayatan warisan budaya negara serta Asia Tenggara. Program pada tahun ini merupakan sebahagian daripada usaha peremajaan KLCCD, sebuah inisiatif Belanjawan 2023 di bawah naungan Kementerian Kewangan.
Musim kedua telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, YB Datuk Hajjah Hanifah Hajar Taib dan diiringi oleh Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed serta Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL, Izwan Razif Salehapad.
Hanifah Hajar berkata; "Saya berbesar hati melihat kesinambungan Pentas Seni Merdeka dalam mencergaskan bandar dan memartabatkan masyarakat kita melalui seni budaya dan warisan. Program awam yang bersifat inklusif ini diharap dapat memupuk pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor kreatif yang dinamik.
"Selaras dengan aspirasi kerangka ekonomi Malaysia MADANI yang dilancarkan baru-baru ini, sektor ekonomi kreatif dan budaya adalah asas dalam usaha memacu Kuala Lumpur yang rancak. Dengan memanfaatkan warisan sejarah dan bakat tempatan, ia dapat meningkatkan daya tarikan dan daya saing Kuala Lumpur sekaligus meletakkannya sebagai destinasi kreatif global serta kuasa ekonomi.
"Daerah Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur, antara usaha lain yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, dipertengahkan dalam perjuangan usaha ini, seperti kejayaan yang ditonjolkan oleh daerah-daerah kreatif lain di seluruh dunia. Marilah kita bersama memupuk sebuah bandar yang berkembang maju dengan menyemarakkan inovasi serta memacu pertumbuhan dan kemakmuran bandar untuk semua."
Pentas Seni Merdeka yang bermula pada 22 Julai hingga November 2023 merupakan inisiatif Think City, sebuah organisasi impak yang berdedikasi dalam menjadikan bandar raya lebih berdaya huni.
Inisiatif seni awam bulanan anjuran bersama Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bertujuan mempromosikan ekuiti sosial melalui pengaktifan ruang awam dan meningkatkan kedaya-hunian dan kelestarian keseluruhan Pusat Bandar Kuala Lumpur, seperti yang dimaktubkan dalam Pelan Induk Strategik Daerah Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur (KLCCD) yang dibangunkan secara bersama oleh Think City, DBKL, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Yayasan Hasanah pada 2019.
Pengaktifan ruang awam adalah penting dalam memastikan peluang rekreasi dan ekonomi yang sama dan mudah diakses untuk semua warganegara.
Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata penggunaan semula bangunan warisan di dalam bandar berfungsi untuk memberi nafas baru kepada struktur ini, dapat memupuk penghargaan baru terhadap kepentingan warisan.
"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan DBKL dalam usaha memberi nafas baharu kepada Pusat Bandar Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada aktiviti dan pengaktifan yang dipersetujui oleh keduadua pihak apabila MOU ketiga kami ditandatangani awal tahun ini. Ruang awam di dalam bandar mempunyai potensi besar untuk menjadi platform sosial yang saksama untuk mempromosikan seni dan budaya serta membantu menjana sosial dan ekonomi dalam ekosistem.
"Dalam usaha untuk terus membangunkan Pusat Bandar Kuala Lumpur sebagai sebuah daerah kreatif dan budaya yang dinamik, Pentas Seni Merdeka telah muncul sebagai antara acara terutama untuk adiguru dan tokoh seni budaya tradisional negara dan serantau. Usaha untuk merakyatkan transformasi Pusat Bandar Kuala Lumpur telah mewujudkan kesan positif kepada kawasan dan komuniti sekitar.
"Peruntukan Belanjawan 2023 untuk KLCCD telah memperkukuhkan usaha kami untuk meningkatkan kedaya-hunian, ruang hijau, ruang awam dan menggalakkan pembangunan kapasiti komuniti. Kerjasama dengan rakan usahasama seperti Khazanah Nasional Berhad, Yayasan Hasanah, Yayasan Sime Darby, Permodalan Nasional Berhad, Railway Assets Corporation dan lain-lain kekal penting dalam visi kolektif untuk membentuk sebuah bandar yang mampan dan lestari," ujarnya.

Kalendar Pentas Seni Merdeka 2023

Pentas Seni Merdeka yang bermula pada 22 Julai 2023 telah menampilkan Mak Yong Kelantan oleh Kumpulan Mak Yong Cahaya Matahari dan pada hujung minggu lalu menampilkan Barongan Seni Reog oleh Kumpulan Sri Wahyuni, Johor – kedua-duanya dibawa dengan kerjasama PUSAKA.
Edisi seterusnya pada 9 September 2023 akan menampilkan muzik dan tarian dari Borneo dengan Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup Mathew Ngau Jau dan Alena Murang.
Edisi-edisi seterusnya akan diadakan setiap hari Sabtu kedua sehingga November 2023 dan akan menampilkan persembahan tradisional Malaysia yang lain seperti Opera Teochew dan bentuk seni budaya India.
Pentas Seni Merdeka berlangsung di Jalan Raja, Dataran Merdeka dari jam 6 petang hingga 10.30 malam. Maklumat lanjut mengenai Pentas Seni Merdeka dan KLCCD, layari thinkcity.com.my.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024