Hiburan

Mahkamah Tolak Permohonan Serina Untuk Dapatkan Hak Jagaan Sementara 2 Anak

Amri Hassan
23/07/2018
12:01 MYT
Sponsor Banner
Mahkamah Tolak Permohonan Serina Untuk Dapatkan Hak Jagaan Sementara 2 Anak
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini menolak permohonan pelakon Serina Redzuawan untuk mendapatkan hak jagaan sementara dua anaknya dengan bekas suaminya, warga Britain, Salahudin@ Gavin Edward O’luanaigh kerana telah ada hak penjagaan kekal yang dipersetujui bersama sebelum ini.
Hakim Syarie Salehan Mat Yatim dalam keputusannya selain itu menegah Serina dan Salahudin daripada membawa anak-anak mereka ke luar negara walaupun Serina memohon mahkamah tidak membenarkan bekas suami sahaja membawa anak ke luar negara.
Perintah itu terpakai sehinggalah kes induk permohonan Serina untuk mengubah perintah hadanah (hak penjagaan) kekal yang diperoleh Salahudin diputuskan kelak.
Salehan membuat keputusan itu dengan kehadiran Salahudin yang diwakili peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan peguam syarie, Datuk Seri Amli Embong bagi pihak Serina.
Pada 27 Julai tahun lalu, Serina telah memberikan hak penjagaan kekal Tristan Tareef O’luanaigh, 7, dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 6, kepada Salahudin melalui penghakiman persetujuan berdasarkan beberapa syarat dan terma lawatan yang telah dipersetujui bersama.
Namun begitu, Serina selaku pihak pemohon pada 26 Februari lalu telah memfailkan permohonan untuk mengubah perintah hak jagaan kekal itu atas alasan antaranya Salahudin yang dinamakan sebagai pihak responden tidak mengamalkan hidup secara Islam dan bimbang anak-anaknya akan murtad.
Serina juga khuatir anak-anaknya akan dibawa keluar dari Malaysia memandangkan keluarga bekas suaminya itu berada di London.
Salehan dalam keputusannya juga memerintahkan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, pegawai penguat kuasa agama dan pihak berkuasa lain memberikan kerjasama sewajarnya bagi memastikan perintah tersebut dilaksanakan sepenuhnya.
Sumber: Utusan Online Foto: @serinaredzuawan
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024