Laman Utama

#ListenToAided: A Living Legend! Jom Dengar Lima Lagu Noorkumalasari

Asraf Aided
31/05/2021
14:40 MYT
Sponsor Banner
#ListenToAided: A Living Legend! Jom Dengar Lima Lagu Noorkumalasari
NOTA: Kolum ini ditulis berdasarkan pandangan/pendapat peribadi penulis berkaitan dunia muzik tempatan dan antarabangsa.
Pejam celik, Isnin tiba lagi dan saya kembali menulis ruangan ini.
#ListenToAided kali ini menampilkan seorang penyanyi senior berbakat besar, Noorkumalasari.
Mungkin lagu-lagu Noorkumalasari kurang mendapat perhatian dalam generasi muda masa kini, tapi apapun, lagu-lagunya punya kualiti dan kelas tersendiri.
Malah, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga pernah mengatakan Noorkumalasari adalah penyanyi kegemarannya menerusi vlog di saluran YouTube miliknya.
Pada pendapat saya, lagu-lagu adik kepada Anita Sarawak ini ada yang menceriakan, memberi ketenangan malah ada juga yang dramatik menusuk kalbu, semuanya terpulang kepada selera dan penghayatan pendengar.
Selain lagunya, Noorkumalasari juga amat dikenali dengan citarasa dalam berfesyen, lihat sahaja muzik video, poster, muka depan album dan pelbagai lagi fotonya sejak zaman 80'an hingga kini, she's an ultimate fashion icon!
Sekarang, mari sama-sama dengarkan lima lagu Noorkumalasari yang saya kongsikan bersama anda.
Hati Seorang Kekasih
Lagu ini dimuatkan dalam albumnya berjudul Mata pada tahun 1982.
Liriknya mengisahkan tentang kekecewaan seorang wanita yang menyaksikan kekasih lamanya berkahwin dengan orang lain. Lagu ini disampaikan dengan penuh kesayuan baik dari segi nyanyian dan susunan muziknya.
Hati Seorang Kekasih ditulis oleh Habsah Hassan dan digubah oleh Omar Taib.
Mata
Mendengar tajuknya sahaja kita sudah tahu ia merupakan salah satu lagu dalam album Mata.
Mata mengisahkan tentang 'kuasa' mata dalam kehidupan. Kebiasaanya, sesuatu perbuatan dalam kehidupan akan bermula dari pandangan, begitu juga rasa cinta yang mengasyikkan, dari mata turun ke hati.
Lagu ini ditulis oleh Fauzi Marzuki, digubah oleh Aman Shah.
Selamat Pagi Sayang
Saya pasti mesti ramai yang tahu lagu ini, malah ketika saya sekolah rendah dahulu pun ia masih kerap dimainkan di beberapa stesen radio.
Selamat Pagi Sayang disampaikan dalam 'mood' yang ceria dan mengisahkan tentang pasangan yang sedang dilamun cinta, jarak beribu batu pun terasa dekat di hati.
Lagu tulisan oleh S. Atan ini dimuatkan dalam album Aku Dan Dunia Seni pada tahun 1980.
Biarlah Ku Sendiri
Juga dari album Aku Dan Dunia Seni, lagu ini merupakan salah satu lagu kegemaran saya yang tak pernah jemu mendengarnya.
Ia mengisahkan tentang sang kekasih bermulut manis, hakikatnya omong kosong lalu pergi meninggalkan.
Setelah itu, sang kekasih berpaling hati dan ingin kembali, namun pintu hati wanita ini sudah tertutup dan lebih rela bersendirian tak berteman.
Bimbang Terluka Lagi
Lagu duet bersama legenda Allahyarham Sudirman Arshad ini dimuatkan dalam album Wajah pada tahun 1985.
Daripada pemahaman saya, lagu ini mengisahkan tentang perasaan bimbang terluka lagi dalam percintaan, namun sebagai manusia, setiap insan mendambakan teman dalam kehidupan.
Gabungan vokal dua bintang ini kedengaran gah dan sempurna, lagu ini ditulis oleh Habsah Hassan dan digubah oleh Haron Mohamad.
Demikianlah lima lagu Noorkumalasari yang sentiasa sedap didengar, bakat nama besar ini semestinya akan terus dihargai oleh kita semua.
Semoga kita bertemu lagi dalam #ListenToAided minggu hadapan, ingat, stay at home and stay safe!
Kredit Foto: Carousell (Foto disunting mengikut kesesuaian imej Noorkumalasari yang kini berhijab)
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024