Hiburan
Kontroversi ‘Money Laundering’ Tidak Jejas Perniagaan Man Kidal, Bakal Eksport Kopi Durian ke China
Baru-baru ini gitaris popular Man Kidal dipalit kontroversi terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram atau ‘money laundering’.
Bagaimanpun dakwaan tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengembangkan perniagaan di bawah labelnya sendiri, MK Label Sdn. Bhd.
“Ya baru-baru ini saya diberitahu oleh beberapa individu mengenai penglibatan dalam aktiviti penggubahan wang haram di media sosial.
“Mereka menggunakan nama salah sebuah anak syarikat saya iaitu MK Label Sdn. Bhd. untuk mendapat bayaran deposit daripada pelabur yang dijanjikan keuntungan lumayan.
“Perkara tersebut secara tidak langsung menjejaskan perniagaan produk makanan kesihatan milik saya yang telah beroperasi sejak November lalu,” katanya kepada Astro Gempak.
Bagaimanapun Man Kidal yang juga Pengerusi Global Tijari Capital Bhd. telah membuat laporan polis dan bertegas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang cuba memanipulasikan nama dan syarikatnya untuk menjana keuntungan dengan cara mudah.
“Saya telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelong, Sungai Buluh, Petaling Jaya pada 24 Ogos lalu. Tindakan undang-undang turut akan diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang telah menjatuhkan nama baik saya.
“Paling penting, saya melakukan perniagaan berdasarkan jual beli secara terus kepada pelanggan dan tiada kaitan dengan isu penggubahan wang haram sebagaimana yang diperkatakan,” katanya.
Menurut Man Kidal, MK Label Sdn. Bhd. merupakan salah sebuah anak syarikat milik Global Tijari Capital Bhd. yang dipengerusikan olehnya, selain beberapa anak syarikat lain iaitu Global Tijari Holding Bhd, Inetra Solution Sdn. Bhd., NSR Solution Enterprise, MK Automotive Sdn. Bhd., MK Industries Sdn. Bhd., MK Resort Sdn. Bhd. dan Kidal Entertainment.
“Tidak hanya memberi fokus kepada produk kesihatan, saya juga terlibat dengan perniagaan hartanah, automotif, dan pelancongan. Saya juga memiliki sebuah kilang pemprosesan makanan kesihatan di Rawang dan mempunyai hampir 100 orang pekerja.
“Kami juga merancang untuk mengeksport air minuman kopi durian ke China dan bakal bekerjasama dengan ahli perniagaan dari India untuk memasarkan produk keluaran MK Label Sdn. Bhd. di sana.
Dalam pada itu, Man Kidal memberitahu kerjayanya pemuzik tetap diteruskan kerana itulah keinginan dan jiwanya.
“Biarpun sibuk, saya tetap cuba memberi ruang untuk menerima tawaran mengadakan persembahan. Tapi jangan risau ‘harga’ saya masih sama seperti dahulu.
Bayaran tinggi tidak mungkin akan berlaku. Saya masih Man Kidal yang dulu,” katanya ketawa.
Must-Watch Video