Hiburan

Ketumbuhan Lipoma Berulang Selepas 18 Tahun, Azharina Buat Pembedahan

Fiza Kamarudin
11/09/2019
02:56 MYT
Sponsor Banner
Ketumbuhan Lipoma Berulang Selepas 18 Tahun, Azharina Buat Pembedahan
Penyanyi Azharina telah selamat menjalani prosedur membuang benjolan lipoma di bahagian dahinya beberapa hari lalu.
Azharina turut berkongsi video ketika sedang menjalani rawatan membuang benjolan lipoma tersebut di laman sosial Instagram (IG), pagi Selasa.
Menerusi ruangan kapsyen Azharina memberitahu, limpoma tumbuh kembali di tempat sama selepas 18 tahun menjalani pembedahan ketika berusia 16 tahun.
Penyanyi Elegi Sepi itu turut berpesan kepada mereka yang mengalami masalah sama supaya tidak malu dan takut menjalani rawatan.
“Ya Nina ada ketumbuhan lipoma di dahi . Sudah pernah melakukan sekali pembedahan di usia 16 tahun.
“Dan ketumbuhan sama berulang di tempat yang sama 18 tahun kemudian. Tujuan perkongsian Nina ini agar sesiapa yang mengalami masalah yang sama tidak perlu rasa takut, malu atau segan kerana ini adalah sebahagian dari kehidupan dan ada jalan penyelesaian.
“Terima kasih buat doktor @drcheehb dan doktor @dr_syafiqlokman yang memberikan servis terbaik dan layanan ‘tiptop’, hilang rasa sakit!,” tulisnya.
Sementara itu Azharina ketika dihubungi Gempak berkata, dia berada dalam keadaan baik, cuma dahinya masih bengkak.
“Alhamdulillah, saya okay sahaja…Cuma kawasan tersebut masih bengkak,” katanya.
Dalam pada itu Azharina turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah mendoakan dirinya dan berharap agar video dikongsi bermanfaat kepada semua.
Lipoma adalah ketulan atau benjolan berbentuk bulat sama ada kecil atau besar yang tumbuh antara permukaan kulit dan lapisan otot yang boleh membuatkan seseorang itu rasa kurang selesa.
Lazimnya, lipoma tumbuh di beberapa bahagian badan seperti tangan, kaki, bahu dan belakang leher, malah ada di dalam organ badan.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024