Gaya Hidup

Keropok Lekor Losong Sudah, Terengganu Disaran Patenkan 'Ikan Celup Tepung' Pula

Gempak
12/11/2024
12:39 MYT
Sponsor Banner
Keropok Lekor Losong Sudah, Terengganu Disaran Patenkan 'Ikan Celup Tepung' Pula
Terengganu disaran mempatenkan produk makanan, ikan celup tepung yang popular di negeri ini, sebagai harta intelek bawah kategori Petunjuk Geografi (GI).
Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Ts Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, berkata ikan celup tepung atau lebih dikenali sebagai 'ICT' amat sinonim dengan Terengganu, malah terdapat ramai pengusaha produk berkenaan di pesisir pantai negeri ini.
"Ikan celup tepung adalah produk popular di Terengganu tetapi masih belum dipatenkan berbanding Keropok Lekor Losong yang sudah didaftarkan (pada 2016).
"Antara lokasi tumpuan peniaga ikan celup tepung yang boleh diberi fokus untuk dipatenkan dalam kategori Petunjuk Geografi ialah Penarik di Setiu dan sekitar Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zuhan berkata, kemudahan cawangan Terengganu adalah Pejabat Satelit MyIPO yang pertama menyediakan akses lebih mudah kepada usahawan, pereka, inovator dan profesional untuk melindungi hasil ciptaan serta penjenamaan produk mereka di Malaysia.
Sebelum ini, beliau menjelaskan, pihak pemilik perlu ke Pejabat Cawangan MyIPO di Kuantan atau untuk mendaftarkan harta intelek mereka atau melakukannya secara dalam talian.
"Di Terengganu, kita menerima 1,418 permohonan mendaftarkan harta intelek sepanjang tempoh lima tahun sejak 2019.
"Kita yakin jumlah itu akan meningkat kerana Terengganu ada banyak produk yang boleh dipatenkan memandangkan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) mempunyai lebih 14,000 usahawan berdaftar," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, MyIPO menerima sebanyak 335,614 permohonan mendaftarkan harta intelek di seluruh negara antara 2019 hingga September lalu, dengan 243,623 permohonan diluluskan dalam tempoh sama.
Sumber: Berita Harian Foto: Mohd Zarin
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar