Hiburan

“Jam 4 Pagi Tadi Saya Periksa Dia Dan…” - Isteri Datuk Ahmad Tamimi Siregar Meninggal Dunia

Fiza Kamarudin
15/05/2020
07:38 MYT
Sponsor Banner
“Jam 4 Pagi Tadi Saya Periksa Dia Dan…” - Isteri Datuk Ahmad Tamimi Siregar Meninggal Dunia
Isteri pelakon dan pengarah, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datin Zulhaila Siregar Sulaiman, 64, meninggal dunia akibat masalah pernafasan kira-kira jam 2 pagi, hari ini, di kediaman mereka di Bukit Bangsar, Kuala Lumpur.
Ahmad Tarmimi ketika dihubungi berkata, kali terakhir dia bercakap dengan isterinya jam 11 malam tadi.
"Selalunya setiap kali bangun solat tahajud dalam jam 2 pagi saya akan periksa dia dulu, tapi tadi tidak. Dalam jam 4 pagi baru saya periksa dan mendapati dia sudah tidak bergerak dan kaki pun sejuk.
"Kali terakhir saya bercakap dengannya sebelum tidur iaitu jam 11 malam. Saya sempat hantar video kepada ahli keluarga bagi memaklumkan keadaannya yang tidak berapa okay. Pernafasannya dan oksigen kurang bagus. Dia nampak penat sangat. "Saya nak bawa dia ke hospital, tapi disebabkan penyakit dialami membabitkan paru-paru ditambah pula musim Covid-19, jadi saya fikir ia tidak sesuai. Tidak menjangka pula dia sudah mahu pergi," katanya kepada Harian Metro.
Ahmad Tarmimi berkata, keadaan kesihatan isterinya mula merosot sejak tiga tahun lalu selepas disahkan menghidap penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) tujuh tahun lalu.
"Sakit dialami sudah tujuh tahun, tapi mulai merosot sejak tiga tahun lalu yang mana dia sudah tidak boleh keluar rumah. Kalau keluar pun, kena bawa oksigen bersama. Itu pun sesekali saja.
"Sejak dua minggu lalu dia sudah tidak berapa ingat, malah minggu ini pernafasannya tidak menentu. Jadi, saya bercakap pada diri, saya reda jika Allah mahu mengambilnya. Ambillah dia.
"Macam semalam pun saya pujuk dia makan dan minum, tapi tak nak. Dia sempat cakap nak peluk anak bongsu yang baru pulang dari kerja," katanya.
Menurut Ahmad Tarmimi, jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Zuhur, hari ini.
"Ambulan dan pegawai perubatan sudah datang buat pemeriksaan tadi. Jenazah tidak dibawa ke hospital. Semua anak pun sudah ada di rumah. Insya-Allah, saya cuba segerakan urusan pengebumian jenazah," katanya.
Zulhaila juga penerbit bersama filem Belukar lakonan Bront Palarae, Daphene Iking dan ramai lagi.
Zulhaila juga pernah membintangi filem Sepi pada 2008. Sumber: Harian Metro
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024