Hiburan
Isu Op Sky: Ziana Zain, Jalaluddin Hassan & Sheikh Muszaphar Tiba Di SPRM Untuk Beri Keterangan
Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan dilaporkan sudah tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar pukul 9.30 pagi, Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes sendiket syarikat pengurusan kewangan.
Pelakon usia 71 itu bagaimanapun dikatakan tidak menggunakan pintu utama di mana tempat pengamal media menunggu sejak awal pagi.
Seorang pegawai SPRM yang berada di pos pengawal SPRM juga memaklumkan perkara sama namun tidak dapat dipastikan waktu sebenar aktor itu tiba.
Sementara itu menurut sumber, Jalaluddin mengesahkan akan hadir memberi keterangan dan dalam masa sama penyanyi Ziana Zain juga dikatakan sudah tiba dalam waktu sama.
“Dah sampai dah puan. Mereka bersama pasukan siasatan,” ujar seorang pegawai SPRM ketika ditanya pengamal media.
Selain Jalaluddin dan Ziana, seorang lagi selebriti yang dipanggil untuk siasatan adalah angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor juga dipanggil.
Ketiga-tiga mereka dipanggil bagi membantu siasatan berhubung sendikit syarikat pengurusan kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.
Pada 2 Februari lalu, media melaporkan pihak SPRM akan memanggil beberapa selebriti namun tidak menyebut sebarang nama.
Siasatan berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Difahamkan kesemua selebriti terbabit dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit yang bertindak sebagai duta.
Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM turut mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi tersohor negara.
SPRM sebelum ini berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi syarikat perunding kewangan.
Must-Watch Video