Terkini

"Hormatlah Pekerjaan Orang Lain Walau Cuci Jamban" - Faezah Elai Nafi Perlekeh Orang Belajar Tinggi

ZULHILMI JALIL
13/10/2020
07:45 MYT
Sponsor Banner
"Hormatlah Pekerjaan Orang Lain Walau Cuci Jamban" - Faezah Elai Nafi Perlekeh Orang Belajar Tinggi
Pelakon Faezah Elai menafikan dakwaan netizen yang menyifatkan dirinya seolah-olah memperlekeh golongan terpelajar ketika berkongsi pengalamannya sebagai bekas pramugari di saluran Youtube Zarul Umbrella yang disiarkan baru-baru ini.
Menurut Faezah, konteks perbandingan golongan terpelajar yang tidak mengembara yang cuba disampaikan dalam video berdurasi kira-kira 26 minit itu telah disalah erti pihak tertentu.
"Dalam video temu bual saya bersama @zarulumbrella tentang kehidupan ketika saya bergelar kru kabin, ada saya sebut jika anda ada Masters (Ijazah Sarjana) atau PhD (Ijazah Doktor Falsafah) tapi tak pernah travel (mengembara), banding orang yang mungkin hanya ada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), tapi selalu travel terutamanya pengembara solo, pengalaman mereka ini lebih banyak dan mereka lebih terbuka dan bijak.
"Tak semua orang mampu belajar sampai degree (ijazah), kadang-kadang bukan sebab duit, tapi sebab tak semua orang mampu untuk duduk dan membaca buku. Ada yang suka kutip ilmu melalui jumpa pelbagai orang, budaya dan agama," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Faezah menjelaskan hal tersebut selepas terdapat pihak yang cuba mempersoalkan tindakannya yang didakwa cuba merendahkan golongan berpelajaran.
Begitupun, katanya, dia sendiri merupakan seorang yang cukup mengutamakan pelajaran.
"Saya tak cakap jangan belajar masuk universiti, sebab saya pun belajar sampai universiti. Alhamdulillah dapat peluang untuk lihat ciptaan Allah di luar,belajar tentang sabar bila kena maki, belajar tentang erti syukur.
"Bila kena hidang orang makan, belajar sedar diri, kita tak hebat mana pun walau ketika itu, gaji RM8,000 hingga RM10,000 sebulan," katanya.
Pada masa sama, Faezah turut menasihati orang ramai untuk tidak sesekali memperlekeh pekerjaan orang lain.
"Hormatlah pekerjaan orang lain walaupun cuci jamban, sebab hati dan iman dia mungkin jauh lebih mulia daripada kita yang kononnya rasa pandai tapi tak ada adab.
"Namun, jika kata-kata saya mengguris hati sesiapa, saya mohon maaf," tulisnya.
Video perkongsian pengalamannya sebagai pramugari itu ditonton lebih 43,000 kali di YouTube.
Sebelum ini, Faezah pernah berkhidmat bersama syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) pada 2003 sebelum membuat keputusan untuk berhenti pada 2006.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024