Hiburan

Hafizah Al-Quran Kena Kahwin Paksa Dengan Lelaki Berusia, Suami Orang!

Amri Hassan
01/06/2024
06:55 MYT
Sponsor Banner
Hafizah Al-Quran Kena Kahwin Paksa Dengan Lelaki Berusia, Suami Orang!
Filem-filem yang mengetengahkan unsur-unsur Islamik sebagai tema utama agak jarang dihasilkan oleh kebanyakan pembikin filem.
Justeru itu, syarikat produksi dari Indonesia, Film Maker Muslim (FMM Studios) dengan kerjasama PPA Institute dan Pejuang Subuh telah menghasilkan sebuah filem Islamik tentang perkahwinan tanpa rela berjudul Perjalanan Pembuktian Cinta.

Adaptasi novel popular

Filem berkenaan telah diadaptasi daripada sebuah novel best seller dengan tajuk yang sama karya penulis Nusaibah Azzahra yang mendapat sambutan hangat di negara berkenaan.
Menariknya, karya yang dipaparkan itu adalah kisah benar yang telah dilalui sendiri oleh penulis berkenaan apabila dia telah dipaksa berkahwin dengan lelaki yang telah beristeri.

BERITA TRENDING: Umisya Kongsi Hikmah Disebalik Berpoligami

Angkat kisah benar

Pengarah Urusan D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar selaku pengedar filem tersebut untuk tayangan di Malaysia berkata, pihaknya berminat membawakan filem Perjalanan Pembuktian Cinta ke Malaysia kerana ia menawarkan sesuatu yang unik dan segar dalam genre filem Islamik romantik.
“Dengan jalan cerita yang memberi inspirasi tentang kekuatan wanita mengharungi cabaran hidup, filem ini dijangka mampu menyentuh hati penonton dan memberi pengajaran bermakna. D'Ayu Pictures berbangga membawa karya istimewa ini untuk tontonan penonton Malaysia.

“Tarikan filem ini terletak pada kisah benar yang diangkat, watak-watak yang menyerlah dan alur cerita yang tersusun indah. Gabungan elemen komedi dan drama dan juga latar belakang nilai keagamaan yang seimbang bakal mengadun emosi penonton.

“D’Ayu Pictures sudah pasti menyokong kelainian filem ini kerana ia menyaksikan sebuah kisah cinta dan nilai murni agama digabungkan dengan agung yang bakal menyentuh jiwa penonton,” ujarnya.

PILIHAN PEMBACA: Lelaki Ini Menyesal Kahwin Dua, Isteri Pertama Dah Tak Manja Manakala Isteri Ke-2 Pula Layan Dirinya Persis Hamba

Perjalanan Pembuktian Cinta menceritakan tentang seorang penghafaz Al-Quran, Fathia menempuh rintangan hidup apabila dipaksa berpoligami oleh ayahnya sendiri dan berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya.
Diarahkan oleh M. Amrul Ummami, filem tersebut dibintangi ramai pelakon hebat seperti Dea Annisa, Teuku Ryan, Muzakki Ramdhan, Donny Damara, Elma Theana dan ramai lagi.
Mengenai sambutan di Indonesia pula, Rosmarayu memberitahu penerimaan penonton di sana luar biasa, meskipun ditayangkan semasa bulan Ramadan.
“Respons hebat penonton Indonesia membuktikan filem ini berjaya mengusik jiwa semua lapisan masyarakat. Kini, giliran penonton Malaysia pula untuk menghayati karya seni bernilai ini.
“Sudah tentu saya meletakkan harapan tinggi agar filem ini turut mendapat sambutan baik. Namum, saya juga melihat dari sudut jalan ceritanya yang sememangnya memberikan banyak mesej-mesej positif serta pemahaman yang lebih mendalam tentang cara mengenali diri,” jelasnya.

"Jalan Cerita Unik" - Pengarah

Sementara itu, M. Amrul selaku pengarah berkata, Perjalanan Pembuktian Cinta menampilkan jalan cerita yang unik berbanding filem-filem genre yang sama.
“Perjalanan Pembuktian Cinta diadaptasi daripada sebuah novel yang ditulis seorang penghafal Al-Quran, yang mana ia adalah kisah benar penulis itu sendiri dan itu adalah keistimewaan tentang filem ini.
“Jalan cerita yang dipaparkan akan membuatkan penonton akan lebih memahami lebih dekat dengan mesej-mesej yang terkandung dalam jalan cerita filem ini bagi menempuhi kehidupan seharian,” ujarnya.
Sudah ditayangkan di Indonesia sejak 7 Mac lalu, Perjalanan Pembuktian Cinta akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 20 Jun 2024.
Korang dah tengok filem pilihan nombor satu di GSC, The Experts?
Kalau belum, filem tempatan pecah panggung ini masih mendominasi pawagam tanah air. Jom, tonton The Experts di pawagam berhampiran korang hari ini.

Sinopsis Perjalanan Pembuktian Cinta

Perjalanan Pembuktian Cinta mengisahkan tentang seorang penghafal atau Hafidzah Al-Quran iaitu Fathia (Dea Annisa) dan Raehan (Teuku Ryan) yang saling menyukai antara satu sama lain. Bagaimanapun, Fathia terpaksa menjauhkan dirinya daripada Raehan atas kepatuhan kepada agama. Pada masa sama, ayah Fathia juga telah memaksa dia untuk berkahwin dengan seorang lelaki berusia dan sudah beristeri. Berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintai dan terpaksa berpoligami membuatkan kehidupan Fathia menjadi lebih sukar.

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar