Hiburan

#GempakMemilih2020: Neelofa - Jelitawan Mempesona, Kini Tutup Wajah Hanya Untuk Bakal Suami & Keluarga

Badrul Hashim
21/12/2020
09:30 MYT
Sponsor Banner
#GempakMemilih2020: Neelofa - Jelitawan Mempesona, Kini Tutup Wajah Hanya Untuk Bakal Suami & Keluarga
Daripada seorang jetsetter, beliau kini lebih tenang bersama keluarga. Daripada penggaya fesyen berjenama, beliau kini lebih senang dengan pakaian polos dan menutup segala auratnya. Daripada seorang jelitawan yang mempesona, beliau kini melitup wajahnya hanya untuk bakal suami dan ahli keluarga. Itulah Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih mesra dengan nama Neelofa yang menjadi salah seorang daripada personaliti untuk #GempakMemilih2020.
Fesyen Dan Neelofa
Dalam satu perkongsian bersama Gempak secara eksklusif tidak berapa lama dulu tetapi tidak pernah disiarkan lagi, Neelofa mengakui dia menggunakan kecantikan anugerah Tuhan kepadanya untuk berjaya dalam bidang seni.
"Saya tidak pandai berlakon dan saya juga tidak boleh menyanyi, tetapi Allah SWT kurniakan saya wajah yang membolehkan saya untuk berada dalam cabang seni seperti mengacara.
"Daripada situ saya juga berpeluang untuk melebarkan sayap dalam bidang fesyen, menghadiri pertunjukan fesyen antarabangsa, menjadi duta kepada jenama-jenama terkenal dunia dan lain-lain lagi.
"Namun ianya bukanlah perkara yang mudah kerana saya banyak belajar untuk mencapai ke tahap yang saya ada sekarang. Bukan sekadar berbekalkan wajah, saya juga perlu tahu dan belajar untuk berjaya dalam bidang yang saya ceburi," kata Neelofa dalam temu bual di pejabatnya.
Dari seluruh pelosok jajahan fesyen, tidak kira Milan atau Paris, personaliti ini sudah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan nama-nama besar dalam industri fesyen dunia.
Beliau menerima undangan pertunjukan fesyen jenama mewah dunia seperti Prada, Gucci, Bottega Vanetta dan satu-satunya personaliti daripada Malaysia yang dijemput menghadiri pertunjukan fesyen jenama tersohor Versace.
Ramadan Dan Neelofa
Tahun 2020 memberi anjakan baharu dalam hidup Neelofa. Selepas mengundurkan diri daripada rancangan MeleTOP yang menaikkan namanya dibidang pengacaraan, beliau tidak menoleh ke belakang. Namanya terus meniti di bibir peminat, malah dirinya tidak pernah lekang diburu media dalam setiap perkara.
Banyak perkara yang berlaku sejak wabak Covid-19 melanda seluruh dunia. Sebagai personaliti yang dikenali ramai, Neelofa tidak terkecuali dalam menghulurkan bantuan dari pelbagai segi.
Pada bulan Ramadan lalu, beliau membuka satu saluran Telegram untuk berkongsi doa harian, tips bacaan dalam solat dan perkara-perkara ilmiah. Lebih menarik lagi, beliau sendiri yang menguruskankannya.
"Tahun ini kita menyambut Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebanyakan daripada kita tidak dibenarkan untuk keluar daripada kediaman masing-masing. Justeru, kita manfaatkan masa yang ada dengan perkara-perkara yang berfaedah.
"Selama ini ramai yang bertanya kepada saya, apakah doa yang saya amalkan sehari-hari dan surah apakah yang menjadi kegemaran. Dengan adanya saluran Telegram, saya lebih bebas berkongsi apa sahaja yang bermanfaat, asalkan tidak menyimpang. Saya harapa perkongsian ini dapat dimanfaatkan pada keadaan sukar seperti sekarang," kata Neelofa kepada Gempak.
Sejak Ramadan itu, perubahan personaliti Malaysia dengan pengikut di Instagram paling ramai ini (8.3 juta pengikut) makin jelas kelihatan oleh mereka yang mengikuti rapat perkembangan beliau.
Mendapat tawaran berlakon kita PKP berlangsung di bulan Ramadan, Neelofa mendermakan keseluruhan wang bayaran lakonan yang diterimanya kepada badan kebajikan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
"Kebetulan waktu itu, saya memang tak ada niat nak cari duit pun. Jadi, saya terdetik kalau apa-apa (tawaran) yang datang selepas itu, sya ikhlas nak buat nak beri (sedekahkan) sahaja. Sudah selesai diserahkan sumbangan itu ketika bulan puasa lagi," kata Neelofa kepada Gempak yang dijemput berlakon dalam telefilem 6 Hari.
Pertubuhan Kasih Dan Neelofa
Kemudiannya, wanita yang mempunyai wawasan ini menubuhkan pula sebuah pertubuhan kebajikan pertamanya yang diberi nama Pertubuhan Kasih Neelofa.
"Sejujurnya saya telah lama berhajat untuk membangunkan sebuah badan kebajikan demi membantu golongan yang memerluan. Tapi, saya tidak mahu ia berjalan tanpa melibatkan saya secara keseluruhan. Saya mahu memberi fokus seratus peratus dan benar-benar mendalami masalah yang dihadapi oleh masyarakat.
"Pertubuhan Kasih Neelofa merangkumi tiga teras utama iaitu Keagamaan, Kemasyarakatan dan Bantuan Untuk Golongan Kurang Bernasib Baik. Malah, saya juga menubuhkan Syarikat Kasih Neelofa Resource, sebuah entiti yang berfungsi untuk menjana pendapatan untuk menggerakkan Pertubuhan Kasih Neelofa," katanya lagi kepada Gempak.
Melalui pertubuhan itu juga Neelofa menganjurkan Qurban Kasih Neelofa sempena Hari Raya Aidiladha. Program tersebut memberi peluang kepada individu untuk melaksanakan ibadah korban dengan mudah, di samping meluaskan ilmu pengetahuan mengenai ibadah tersebut kepada orang ramai.
Pengacaraan Dan Neelofa
Mungkin bidang pengacaraan agak sukar untuk dipisahkan dengan insan bernama Neelofa ini. Biarpun sudah meninggalkan rancangan hiburan MeleTOP sebagai pengacara bersama Nabil, Neelofa kembali di kaca TV dengan sesuatu yang lebih natural dan berlainan.
Next To Neelofa membuka ruang yang berbeza buat Neelofa sebagai pengacara. Tetamu-tetamu jemputan terpilih seperti Ella, Datuk Sri Siti Nurhaliza, Profesor Dr Muhaya Mohamad, Datuk Rizalman, Chef Wan dan beberapa personaliti ternama lagi menjadi jemputan eksklusif untuk ditemu bual Neelofa.
Nama Neelofa kembali memuncak sebagai pengacara yang berjaya menguis kisah-kisah peribadi dan ilmiah daripada tetamu-tetamu jemputannya. Beliau spontan berbicara dan bertanyakan soalan. Ketawa bila ada jenaka, serius dengan perbincangan semasa, malah menitiskan air mata ketika mendengar kisah yang penuh emosi.
Gosip Cinta Dan Neelofa
Biarpun sebagai personaliti yang dikenali ramai dan tentunya beliau tidak pernah terlepas dengan gosip percintaan, namun tahun 2020 membutirkan sesuatu yang cukup berlainan. Nama Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih mesra dikenali sebagai PU Riz mula dikaitkan dengan Neelofa.
Pelakon dan pendakwah itu kerap dikaitkan dengan Neelofa apabila sering ada bersama dalam majlis-majlis keluarga. Biarpun cuba dinafikan oleh Neelofa mungkin kerana belum ada sebarang ikatan, namun gosip percintaan mereka mulai hangat di media-media sosial.
Gosip yang bertebaran itu akhirnya menjadi satu yang nyata apabila keluarga PU Riz merisik Neelofa di kediaman keluarga selepas selesai solat Asar yang diimamkan oleh PU Riz.
Sumber keluarga pasangan berkenaan memberitahu Neelofa dirisik oleh keluarga PU Riz dan menerima sebentuk cincin tanda lamaran tersebut diterima beliau. Difahamkan juga, Neelofa dan PU Riz bakal disatukan sebagai suami isteri pada penghujung bulan Mac 2021 nanti.
Niqab Dan Neelofa
Ramai peminat yang terkejut apabila pengacara jelita ini mengambil keputusan untuk berniqab. Neelofa sendiri berkongsi kisah mengapa dia mengambil keputusan untuk mengenakan niqab dalam satu sesi secara langsung di Instagram Kasih Neelofa pada sambutan Maulidur Rasul.
"Wanita sememangnya sukakan kecantikan. Semua nak cantik. Pantang ada produk cantik semua nak beli, sebab itulah lumrah wanita. Saya sendiri nak tutup wajah saya dengan niqap pun bukan satu perkara yang mudah. Saya tak pernah terfikir akan mengenakan niqab.
"Tetapi selepas saya faham dan saya tahu tentang ganjaran dan juga apa yang akan diperoleh, maka saya korbankan apa yang saya paling suka iaitu kecantikan," dedah Neelofa.
Memilih untuk mengenakan niqab turut meninggalkan kesan buat rakan-rakan selebriti kepada Neelofa. Pelakon Mawar Rashid yang juga mula berhijab menjadikan Neelofa sebagai inspirasi untuk berubah lebih baik menuju ke jalan yang diredai Allah SWT.
Bukan setakat itu sahaja, keputusan untuk berniqab turut mempengaruhi pelakon lelaki Ammar Alfian yang melihat keputusan Neelofa tersebut adalah satu pengorbanan yang besar. Justeru itu, Ammar mengambil keputusan untuk memadamkan semua gambar dan video yang menunjukkan tubuhnya di Instagram miliknya.
Pilihan Gempak Dan Neelofa
Sebagai penutup untuk tahun 2020 yang penuh dengan cabaran ini, Gempak telah memilih Neelofa sebagai salah seorang personaliti yang meninggalkan banyak jejak kehebatan untuk tahun 2020.
Kejayaannya, pengorbanannya dan kisah hidupnya memberikan inspirasi kepada ramai orang sebagai seorang yang berpengaruh di Malaysia.
Kredit Gambar: Instagram Neelofa
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024