Hiburan

Gempak Review: Lawak Sponton, Sindiran Halus & Memartabatkan OKU, Filem Mael Totey The Movie Cukup ‘Mahal’

Hanafis Haris
26/10/2020
01:50 MYT
Sponsor Banner
Gempak Review: Lawak Sponton, Sindiran Halus & Memartabatkan OKU, Filem Mael Totey The Movie Cukup ‘Mahal’
Filem Mael Totey The Movie (MTTM) telah pun ditayangkan bermula Khamis lalu.
Sambutan yang diterima terhadap karya YouTuber Syahmi Sazli itu cukup menggalakkan.
Malah, filem pertama Syahmi itu telah berjaya berada di kedudukan pertama Astro First dengan kutipan mencecah RM700,000 selepas sehari ditayangkan.
Biarpun begitu, masih ada lagi yang skeptikal mengenai karya pemuda ini memandangkan tiada pelakon yang popular mahupun bertaraf A-list dalam MTTM.
Bagi anda yang masih teragak-agak untuk menonton MTTM, ini antara pendapat dan ulasan Gempak mengenai filem tersebut.

#1 Ringkas Tapi Masih Dramatik!

Jujurnya, apabila mendapat tahu syahmi akan membuat filem, penulis tidak menaruh harapan tinggi kerana ia percubaan pertama pemuda tersebut.
Namun, apabila menontonnya baru-baru ini, pendangan tersebut terus berubah 360 darjah.
Secara ringkasnya MTTM mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya.
Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya.
Konflik kemudian berlaku antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.
Jalan cerita MTTM sangat mudah! Anda tidak perlu menjadi Albert Einstein untuk ‘menghadam’ plot jalan cerita ini.
Malah, ‘pacing’ filem ini juga agak laju hingga penulis bertanggapan pada pertengahan filem ini, ia hampir tamat.
Namun, rupanya terdapat beberapa konflik berlaku selepas pertengahan cerita dan Syahmi berjaya mengembangkan plot dengan begitu baik.
Bermula dengan ‘pacing’ yang cepat dan seterusnya ‘menjamu’ penonton dengan pelbagai drama dan konflik. Tak sangka sungguh!
Dialog dalam dialek kelantan juga kelihatan sungguh santai dan tidak kaku.
Tidak dilupakan dalam filem ini juga banyak penggunaan bahasa inggeris, bagus untuk pengajaran buat semua.

#2 Pilihan Pelakon

Satu perkara yang berbangkit dalam MTTM adalah pilihan barisan pelakonnya.
Biarpun semua sedia maklum, Yoe dan Asif merupakan bintang YouTuber yang sangat popular, namun untuk ‘mass market’ filem, pastinya ianya mengundang keraguan sesetengah penonton.
Penonton kita ini jika tiada yang popular, terus dicop sebagai filem murahan dan ‘sampah’. Itu tanggapan yang wajar diubah!
Namun, percayalah, anda tidak perlukan itu semua untuk berhibur menonton MTTM.
Malah, penulis berani jamin bahawa ada sesetengah pelakon dalam MTTM jauh lebih baik daripada pelakon ‘kayu’ yang naik hanya belandasan dasar rupa.
Contoh pelakon yang membawa watak cikgu bahasa inggeris, lakonannya sangat mengagumkan.
Riak muka, ekspresi semuanya diterjemahkan macam pro.
Begitu juga Syahmi selaku pelakon utama dalam filem ini yang membawa watak Mael.

#3 Masih Kekal Elemen Spontan & Punchline Lawak!

Bila ditanya apakah genre filem ini, penulis boleh klasifikasikan ia sebagai romantik komedi.
Namun, kekuatan filem ini adalah elemen spontan dan lawak daripada pelakon golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Asif, Yoe, Syamsul (bedul) dan Mohd Yatin.
Pada yang sudah menonton gelagat mereka di YouTube, pasti sedia makluman mereka tidak berlakon menggunakan skrip sebaliknya hanya berlakon secara spontan.
Mungkin ada yang menganggap itu satu kelemahan tetapi ia berjaya diubah oleh Syahmi menjadi satu kelebihan dan kekuatan untuk flem ini.
Babak paling lawak adalah apabila Yatin hanya mendengar skrip daripada Syahmi selaku pengarah.
Biarpun sudah dibacakan skrip, namun masih tak dapat kejar dialog tersebut. Kelemahan yang berjaya ditukar kepada satu punchline yang lawak!
Gabungan duo hebat Asif dan Yoe juga seperti biasa amat cemerlang. Banyak lawak dan punchline diberi dalam filem ini.
Jangan pelik jika apabila Yoe bercakap, Asif hanya ulang dan ikut saja. Jika anda tonton YouTube mereka, anda akan faham mengapa Asif begitu.
Mungkin sesetengah penonton akan anggap lawak mereka agak cringe, namun lawak spontan itulah yang menaikkan nama Yoe dan Asif.
Kelakar atau tidak, ia agak subjektif bagi MTTM, terpulang pada siapa yang menontonnya.
Menurut Syahmi, aksi dan lawak spontan dalam MTTM hanya 30 peratus saja diguna pakai dan selebihnya ia mengikut skrip ditetapkan.

#3 Elemen Nasihat & Sindiran Penuh 'Deep'

Pernah nampak tak ada penonton minta maaf sebab langgan dan tonton filem secara haram?
Namun, itulah yang terjadi terhadap MTTM apabila ada beberapa individu tampil meluahkan kekesalan terutama selepas menonton filem ini.
Betapa hebatnya mesej dalam filem ini hingga membuatkan golongan ini berasa bersalah.
Kenapa? Kerana MTTM mengangkat martabat golongan OKU dalam kehidupan.
BACA: “Setidaknya Kesianlah Krew Berpanas & 4 Orang Istimewa Tu” - Halus Je Syahmi Syazli Jawab Bila Ada Tonton Mael Totey The Movie Secara Haram!
Daripada babak Bedul dan Yatin memasuki kelas bahasa inggeris saja sudah jelas mesej yang Syahmi cuba sampaikan.
Rasa puas bila cikgu dengan beraninya ‘tarbiah’ seorang ibu yang enggan anaknya belajar satu kelas dengan golongan OKU.
Selain itu babak Yoe, Asif dan Syahmi merenung nasib mereka juga sangat terkesan.
Keluhan mereka yang mengenang nasib sangat-sangat ‘deep’.
Babak yang memaparkan ayah sedang menunggu duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) anak OKU juga satu tamparan hebat buat penonton.
Begitu juga pesanan-pesanan lain dari segi naratif cinta dan kritikan serta sindiran tentang masyarakat.
Semua itu menjadikan filem ini sangat ‘mahal’.

#4 Sinematografi & Runut Bunyi

Seperti yang diperkatakan tadi, penulis tidak menaruh harapan tinggi untuk MTTM, tetapi memikirkan kualiti video di YouTube Syahmi sebelum ini tidak mustahil ia juga berterusan dalam skala filem.
Hasilnya, banyak ‘shot’ yang diambil sangat profesional dan kemas.
Menurut syahmi, dia turut menggunakan krew yang professional untuk membantunya shot filem tersebut.
Daripada awal sehingga habis, sukar rasanya nak cari shot yang tidak kemas.
Warna atau color grading juga cantik. Seperti kata rakan penulis, dah macam filter Instagram, lawa teruk!
Namun, satu perkara yang menarik perhatian daripada awal lagi adalah runut bunyi yang digunakan.
Malah, apabila beberapa melodi lagu tersebut digunakan dalam babak sedih, ia sangat memberi impak.
Anda boleh dengar lagu tersebut di bawah.

#5 Banyak Kejutan

Filem ini penuh dengan elemen kejutan. Perkara yang kita tidak sangka belaku, ia berlaku.
Contohnya adalah ketika Syahmi bertemu dengan tok kadi, anda akan terkejut dengan babak tersebut.
Selain itu, Syahmi juga memberi sedikit plot twist pada akhir filem ini. Hint: Drone!
Senang cerita, ada tidak boleh jangka apa yang akan terjadi kerana kita tahu Syahmi memang terkenal dengan lawak dan aksi spontan dalam karyanya.
Jika ditanya mengenai kelemahan filem ini, tidak banyak diperkatakan kerana penulis terhibur sepanjang menonton.
Lagipun ini percubaan pertama Syahmi ke arena filem.
Cuma mungkin lawak dalam MTTM boleh dipelbagaikan, supaya boleh menarik lebih ramai penonton yang tidak pernah menonton drama spontan.
Mungkin daripada situ penonton yang tidak mengikuti YouTube Syahmi boleh enjoy sama dan tidak terpinga-pinga.
Apapun MTTM merupakan filem yang wajib anda tonton, apatah lagi ketika hujung minggu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini.
Tonton MTTM di berada di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480.
Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Rating Gempak 3.7/5
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024