Hiburan

Ernie Rakam Single Boneka Dalam Masa Satu Hingga Dua Jam Sahaja...Wow!

Fiza Kamarudin
27/07/2020
09:08 MYT
Sponsor Banner
Ernie Rakam Single Boneka Dalam Masa Satu Hingga Dua Jam Sahaja...Wow!
Penyanyi Ernie Zakri mengakui mengambil masa satu sehingga dua jam sahaja bagi merakam single terbarunya, Boneka ciptaan Omar K, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh.
Ernie berkata dia tidak mengambil masa lama kerana sudah biasa bekerja dengan Omar K dan tahu apa yang dikehendaki komposer tersebut.
“Saya hanya mengambil masa selama satu hingga dua jam sahaja bagi merakamkan single ini kerana saya sudah beberapa kali bekerjasama dengan Omar K dan saya faham apa yang dikehendaki oleh beliau. “Ini juga merupakan pengalaman pertama berkolaborasi dengan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh kerana kedua-duanya masih baharu dalam bidang penciptaan lagu, namun begitu banyak idea segar yang ditampilkan dan saya rasa seronok kerana banyak yang dipelajari dan dikongsikan bersama,” katanya.
Bercerita mengenai ‘Boneka’, Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) ini berkata, ia mengenai wanita ditinggalkan kekasih.
“Ia berkisar tentang seorang wanita yang ditinggalkan kekasihnya tetapi dia sangat kuat dan tabah dalam menghadapi perpisahan tersebut kerana dia bukanlah ‘boneka’ yang boleh diperlakukan sesuka hati oleh mana-mana lelaki.
“Sebenarnya melalui lagu ini, saya mewakili mana-mana pihak yang ditinggalkan oleh kekasihmereka sama ada wanita mahupun lelaki,” katanya lagi.
Mengulas lanjut tentang single ini, Ernie menerangkan, dia mahu karya yang disampaikan mempunyai mesej agar dapat dijadikan sebagai semangat buat orang lain.
“Saya gemar mempersembahkan karya-karya yang mempunyai cerita dan mesej yang mendalam agar dapat dijadikan sebagai pemangkin buat mereka yang tindas sebagai contoh.
“Muzik mempunyai elemen yang dapat membantu dalam menaikkan semangat seseorang, dan melalui lagu yang saya sampaikan, saya harap ia dapat membantu pendengar tatkala berada dalam keadaan yang gundah,” katanya.
Lagu ‘Boneka’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.
Manakala video lirik dan muzik lagu ‘Boneka’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network dan setakat ini telah ditonton 300,000 kali sejak dilancarkan pada 24 Julai lalu.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024