Hiburan

Ella Nyanyi Lagu Melayu Asli, Itu Barulah Extraordinary!

Amri Hassan
05/04/2019
06:52 MYT
Sponsor Banner
Ella Nyanyi Lagu Melayu Asli, Itu Barulah Extraordinary!
Jujur katakan, saya jarang berpeluang menyaksikan persembahan Ratu Rock Malaysia, Ella.
Kali terakhir pun menonton persembahan live beliau sekitar tahun 2015 menerusi Konsert Awie & Ella di Istana Budaya.
Dan tahun ini, kenangan itu sekali lagi terukir dalam Ella Unplugged Live In Kuala Lumpur.
Ia sebenarnya secara tidak langsung membuka perpektif baharu saya tentang Ella. Nak tahu kenapa? Mari saya ceritakan...
Cukup perisa, tak terlebih tak terkurang tetapi si penghibur ini memberikan ekstra buat pemujanya yang hadir.
Visual pentas Ella pada konsert berkonsep akustik ini meyakinkan! Meletakkan band pengiringnya di pentas bersama-sama merasakan muzik itu dekat dengan penonton.
PEACE
Ella membahagikan tiga segmen untuk konsert kali ini; Peace, Love, Rindu.
Segmen pertamanya, Peace, Ella memaku penonton dengan rangkaian lagu-lagu evergreen yang jarang didendangkan.
Mungkin sedikit asing bagi saya yang berbeza lebih dua dekad usia daripada Ella, namun buah tangan seperti Nuri, PPP, Layar Impian, Rama-Rama dan Sepi Sekuntum Mawar Merah adalah rangkaian sing-along beliau.
Selain itu, medley lagu Cinta Dusta, Esok Selamanya, Aku Kau Dia, Tiada Tangis Lagi dan Penjaga Misteri adalah hadiah terbaik buat peminat setianya sejak 1980-an.
Saya lihat sendiri, ada antara peminat yang menitiskan air mata ketika bersama-sama mengukir bait lirik lagu Ella di bibir.
Barangkali, ada sejarah tersendiri yang terakam daripada muzikaliti Ella!
Ella terus membawa audiens larut dalam segmen duet bersama adik bongsunya, Korie menerusi 'lagu wajib karaoke', Pergilah Sayang.
Kemudian, sesi duet dihangatkan bersama suaminya, Kapter Azhari dalam lagu Peace, Love, Rindu dan lagu milik Allahyarham Deddy Dores, Mendung Tak Bererti Hujan.
LOVE
Segmen Love mengisi ruang kedua segmen Ella di pentas yang muncul dengan persalinan baru.
Sinonim dengan judulnya, Love memaparkan lagu-lagu asli Melayu dan irama tradisional yang sebenarnya turut menjadi kecintaan Ella.
Sayang Di Sayang, Keroncong Kemayoran dan Tak Seindah Wajah antara untaian lagu yang menempelak audiens bahawasanya; Ella bukan hanya rocker!
Malah, Ella menggubah semula lagu Sembilu dalam rendisi irama tradisional, siap ada penari lagi.
RINDU
Segmen penutup Ella, Rindu, sememangnya makanan empunya nama Nor Zila Aminuddin ini; Rock n Roll.
Penuh energetik! Ella mentransformasikan dewan prestij Istana Budaya menjadi ruang muziknya sendiri.
Penuh sorak, tepukan tanpa henti dan jeritan peminat yang mengagumi figura yang lincah dan manja di pentas.
Permata Biru, Kitalah Bintang, Puteri Kota, Cinta Berakhir, Dua Insan Bercinta, Bayangan, Kesal, Pengemis Cinta dan Gemilang antara lagu yang dimuatkan dalam segmen Rindu Ella.
Ella juga mengajak insan yang mula-mula mencungkil bakat Ella menerusi kumpulan The Boys, Lord Lokman untuk beraksi menerusi lagu Dua Insan. Terbaik!
Menyaksikan konsert Ella Unplugged Live In Kuala Lumpur sedikit sebanyak mengembalikan kenangan menonton konsertnya empat tahun lalu.
Uniknya Ella, dia bukan sekadar menyanyi tetapi menghiburkan setiap jiwa yang menonton persembahan pentasnya.
Ella terulung, tak terbandingkan dan itulah Ella.
Foto: Shafiq Shahar
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024