Terkini

“Dia Suka Menyakat, Ceriakan Suasana…” - Stacy Masih Terkejut Kehilangan Abang, Kes Kemalangan Dalam Siasatan

Gempak
26/03/2023
14:00 MYT
Sponsor Banner
“Dia Suka Menyakat, Ceriakan Suasana…” - Stacy Masih Terkejut Kehilangan Abang, Kes Kemalangan Dalam Siasatan
Penyanyi, Stacy Anam, 32, memaklumkan polis masih menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan jalan raya yang mengorbankan abangnya, Chaq, 35.
Justeru katanya, dia enggan mengulas panjang berkenaan perkara tersebut bagi menghormati proses siasatan pihak berkuasa.
“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis, jadi saya tidak boleh mengulas lanjut tentangnya kerana tidak mahu tersalah cakap.
“Buat masa ini, saya dan keluarga masih sibuk menguruskan hal selepas kematian mendiang yang kemungkinannya selesai pada Selasa ini,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Chaq atau nama sebenarnya Camellus Delleli Anam yang terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 12 Mac lepas menghembuskan nafas terakhir lima hari lalu di Hospital Sibu, Sarawak.
Jenazahnya selamat dikebumikan di kampung halaman, Penampang, Kota Kinabalu, Sabah.
Dalam pada itu, Stacy mengakui dirinya masih sukar menerima kehilangan abang kesayangan itu. Kata Stacy, mendiang terlalu dekat dengan ahli keluarga dan antara yang sentiasa menghidup dan menceriakan suasana.
“Dia amat menyayangi keluarga, suka menyakat dan menceriakan suasana. Kami masih terkejut, stress dan masih terasa kehilangannya.
“Sebelum pemergiaan Chaq, kami tidak pernah kehilangan mana-mana anggota dalam keluarga kerana ibu ayah dan adik beradik lain masih ada.
“Ini adalah pengalaman baharu buat kami dan saya percaya ada hikmah atas apa yang berlaku,” kata Stacy lagi.
Kongsi Stacy, kali terakhir dia bercakap dengan mendiang adalah pada hari sebelum berlangsungnya konsert penyanyi tersebut di Dewan Filharmonik Orkestra (DFP) pada 25 Februari yang lalu.
“Dia nanti-nantikan konsert saya dan rancang nak datang menyaksikannya. Tetapi, dia terpaksa membatalkan rancangan tersebut atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Dia banyak memberi kata semangat. Kami sebenarnya lama tidak berjumpa namun perkara itu tidak terasa sebab kami saling berhubung antara satu dengan lain,” ceritanya lagi.
Disoal tentang permintaan mendiang, Stacy memaklumkan Chaq sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk menyanyikan lagu ciptaan dia dan suami, Akim Ahmad.
“Dia pernah minta saya dan Akim buat lagu untuknya. Kami banyak bertukar idea dan menunggu dia datang ke Kuala Lumpur untuk memulakan proses penghasilan dan rakaman (lagu).
“Mungkin satu hari nanti saya akan rakamkan juga lagu itu kerana itu ibarat permintaan terakhirnya dari saya. Bila, tidak dapat saya pastikan buat masa ini,” jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024