Laman Utama

“Dia Order Grab Selepas Itu, Saya Reda” - Sofia Jane Akui Kurang Mahir Di Dapur, Kadang-Kala Terkurang Garam, Tapi Masak Dengan Penuh Kasih Sayang

Izwan Isa
20/09/2021
06:25 MYT
Sponsor Banner
“Dia Order Grab Selepas Itu, Saya Reda” - Sofia Jane Akui Kurang Mahir Di Dapur, Kadang-Kala Terkurang Garam, Tapi Masak Dengan Penuh Kasih Sayang
Hidup berumah tangga merupakan satu fasa yang penuh dengan warna-warni. Saat ini merupakan satu senggang masa yang membolehkan pasangan suami isteri untuk memahami satu dengan lain termasuk bertoleransi sesama sendiri.
Hal tersebut digambarkan penuh manis oleh pelakon berbakat besar, Sofia Jane di akaun media sosial miliknya baru-baru ini.
Menerusi perkongsian semula satu ciapan, Sofia menjawab seorang pengguna Twitter yang bertanyakan soalan tentang keperluan ilmu memasak bagi kaum wanita. Soalan tersebut berbunyi:
“Orang perempuan sekarang tak pandai masak pun berani kahwin… tak fikir ke perasaan bakal suami nanti?”
Sofia kemudian mengulang ciap soalan tersebut dan mengungkapkan pengalamannya sepanjang 26 tahun bergelar isteri kepada suami tersayang, Datuk Meor Zain Azman.
“Saya berterus-terang sebelum menerima lamarannya. Arwah ayah pun memberi amaran mengenai kemampuan bab dapur anaknya.
“Alhamdulillah, 26 tahun kemudian, lauk kekadang kurang garam tapi penuh kasih sayang. Suami tetap kenyang. Kalau tidak, dia order Grab selepas itu, saya reda.” tulis Sofia ringkas.
Rakan artis, Susan Lankester turut memberikan balasan terhadap ciapan Sofia.
Well said lovely. Good on you,” tulisnya.
Namun, Sofia secara berseloroh menjawab: “Suami pun tidak tahu memasak juga dan hal itu yang dia beritahu kepada arwah ayah saya,” katanya sambil meletakkan emoji tertawa.
Dalam perkembangan lain, episod kedua drama terbaharu lakonan Sofia, I-Tanggang bakal menemui penonton pada malam ini.
Bercakap kepada Gempak, watak Dr. Nini yang dijayakan olehnya bakal mengembangkan plot penceritaan naskhah garapan Wan Hasliza Wan Zainuddin, Wan Alauddin Wan Zainuddin dan Rashidi Ishak itu.
“Watak Dr Nini dalam drama ini boleh dianggap penting. Hal ini kerana, ia menjadi penggerak kepada jalan cerita selain memberi gambaran kepada penonton tentang apa sebenarnya berlaku terhadap keluarga Khay,” katanya.
I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.
Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.
Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024