Laman Utama

“Dia Faham Atau Tak Erti Kuarantin Kendiri?” – Didakwa Jejas Inisiatif Perlancongan, BCL Dikecam Selebriti Bali

Awani
19/06/2021
01:50 MYT
Sponsor Banner
“Dia Faham Atau Tak Erti Kuarantin Kendiri?” – Didakwa Jejas Inisiatif Perlancongan, BCL Dikecam Selebriti Bali
Penyanyi dan pelakon Bunga Citra Lestari (BCL) mengundang rasa kurang senang sesetengah pihak ekoran tindakannya memuat naik hantaran di akaun Instagramnya menjalani proses kuarantin kendiri.
Kecaman yang paling ketara dalam dunia selebriti Indonesia ketika ini adalah daripada Jerinx, iaitu pemuzik dan pemain dram band Superman Is Dead (SID), yang berasal dari Bali.
Menurut Jerinx, aksi BCL yang memuat naik gambar bersama individu lain dengan kapsyen ‘sedang menjalani kuarantin’ itu seolah-olah cakap tidak serupa bikin, dan memberi contoh yang tidak bagus untuk tatapan masyarakat.
“Dia bercerita di gambarnya tentang ‘kuarantin kendiri’ malah bangga mengatakan terkena COVID-19, yang katanya virus yang berbahaya, tapi ini seperti trend terbaru yang sekadar mengundang simpati.
“Dia bangga jalani proses kuarantin kendiri tapi di gambar (Instagram) ada dua orang pula. Dia faham atau tidak erti kata ‘kuarantin kendiri’?” tegas Jerinx atau nama sebenarnya I Gede Ari Astina.
Jerinx selanjutnya menyatakan bahawa perbuatan BCL itu secara tidak langsung meninggalkan impak pada usaha pemulihan di destinasi pelancongan penting negara itu.
“OK, cuba lihat pada timeline BCL sejak dia bercuti di Bali. Pada awalnya dia memuat naik gambar bersenang-senang di Bali, yang tentu disaksikan oleh pengikutnya.
“Namun, selepas pulang ke Jakarta, dia dengan 'bangga' mengumumkan kepada 18 juta pengikutnya bahawa dia terkena COVID-19.
“Secara automatik, orang akan tahu BCL terkena COVID-19 di Bali, bukan di bulan, atau di kutub utara!” kesalnya. Jerinx seterusnya menyatakan kekesalannya kerana tindakan selebriti seperti BCL itu hanya akan menjejaskan pelan pemulihan Bali yang sepatutnya akan dibuka kembali pada Julai nanti.
Bagi Jerinx, tindakan seperti yang dilakukan BCL itu ibarat mengenakan ‘prank’ ke atas Bali yang sekian lama menunggu peluang untuk bangkit semula, namun kerap tergendala.
Umum tahu, ekonomi penduduk di ‘Pulau Dewata’ itu lumpuh teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda sejak awal tahun 2020. Banyak perniagaan pelancongan terpaksa tutup operasi dan jutaan rakyatnya kehilangan punca pendapatan.
Baru-baru ini, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno, mengumumkan tentang kempen Work From Bali, iaitu menawarkan destinasi pelancongan itu kepada tenaga kerja syarikat berkaitan kerajaan untuk bekerja secara remote atau bekerja di luar pejabat.
Inisiatif itu adalah untuk mengembalikan rentak pelancongan sekali gus menghidupkan semula ekonomi penduduk di Bali.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024