Laman Utama

"Comel & Halal, Penguin Boleh Dimakan Umat Islam" - Zulkifli Jawab Hukum Makan Daging Penguin

Amri Hassan
26/01/2022
08:30 MYT
Sponsor Banner
"Comel & Halal, Penguin Boleh Dimakan Umat Islam" - Zulkifli Jawab Hukum Makan Daging Penguin
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamed Al-Bakri memberitahu daging penguin adalah halal dimakan oleh umat Islam kerana binatang itu termasuk dalam kategori burung air.
Tambah beliau, penguin juga tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan sebagaimana dilarang oleh Nabi Muhammad SAW.
"Rasulullah SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.
"Comel dan halal. Namun ada sebahagian spesiesnya seperti emperor penguin sedang terancam. Bersama kita lindunginya," jelas Zulkifli menerusi artikel soal jawab agama di saluran portalnya, Maktabah Al-Bakri yang turut dikongsinya dalam Facebook beliau pada Selasa.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pada asasnya, ulama mazhab Syafie berpendapat, semua jenis burung air adalah halal untuk dimakan kecuali burung bangau kerana terdapat perbezaan pendapat mengenainya.
Katanya lagi, Imam al-Ghazali ada menyebut bahawa semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan dan begitu juga seluruh haiwan air yang lain kecuali haiwan yang ada bandingannya dengan haiwan di darat yang haram.
Menurut blog ReadHeadline, terdapat 18 jenis peguin yang dikenal pasti di dunia dengan 13 jenis disahkan semakin pupus dan lima daripadanya dikategorikan sebagai haiwan terancam tahap kritikal.
Walaupun penguin adalah daripada keluarga burung, namun haiwan ini tidak boleh terbang, sebaliknya, mempunyai kemahiran berenang selaju 20 batu sejam.
Spesies penguin dilabel sebagai burung paling pantas berenang dan menyelam paling dalam di dasar lautan.
Foto: Woods Hole Oceanographic Institution
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024