Berita

Cari Buluh Lemang Antara Alasan Diberikan Untuk Rentas Negeri…Alahai, Kalau Dah Degil…

Fiza Kamarudin
23/05/2020
04:00 MYT
Sponsor Banner
Cari Buluh Lemang Antara Alasan Diberikan Untuk Rentas Negeri…Alahai, Kalau Dah Degil…
Mungkin kerana teruja hendak menyambut Aidilfitri, segelintir masyarakat masih berdegil dan ingkaar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) supaya tidak merentas negeri.
Buktinya pada Khamis lalu, lebih 3,000 kenderaan cuba merentas negeri dengan alasan balik kampung disekat dalam sekatan jalan raya.
Pelbagai alasan tidak munasabah diberikan kepada pihak berkuasa apabila ditahan ketika curi-curi nak balik kampung. Di Mersing contohnya, mencari buluh lemang antara alasan diterima polis daerah untuk merentas negeri selain tidak memohon surat kebenaran.
Entah mengapa masih ada yang berdegil walaupun amaran demi amaran telah dikeluarkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setiap hari supaya jangan merentas negeri untuk mengekang pandemik COVID-19.
Walaupun media melaporkan dua kes terbaru di Kedah dan Kelantan yang ‘membawa pulang’ virus COVID-19 ke kampung halaman mereka, namun semalam masih ada yang mencuba nasib keluar dari negeri masing-masing.
Kerana kedegilan tersebut kerajaan telah menarik balik kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan untuk melakukan perjalanan rentas negeri seminggu sekali dan mengambil keputusan memperketatkan hukuman. Mereka yang ingkar bukan saja akan diarah berpatah balik, tetapi dikompaun sebanyak RM1,000 di sekatan jalan raya dan ia perlu dibayar dalam tempoh dua minggu daripada tarikh dikeluarkan.
Aduhai rakyat Malaysia, kita masih belum menang. Patuhlah arahan kerajaan dan sama-sama kita pelajari cara kehidupan normal baharu.
Aidilfitri ini kurangkan atau elakkan sama sekali kunjung-mengunjung. Jika mahu berhari raya juga, patuhlah pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Lakukan ziarah hanya pada hari pertama Aidilfitri dengan kehadiran tidak lebih 20 orang dalam kalangan keluarga terdekat, tiada rumah terbuka serta tiada bersalam-salaman.
Lakukan penjarakan sosial serta kerap mencuci tangan walaupun bersama ahli keluarga.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024