Hiburan

#BilaBadrulBicara: Lantang Bersuara Bukan Bermakna Sombong, Ada Prinsip Bukan Bermakna Angkuh!

Badrul Hashim
15/12/2020
05:30 MYT
Sponsor Banner
#BilaBadrulBicara: Lantang Bersuara Bukan Bermakna Sombong, Ada Prinsip Bukan Bermakna Angkuh!
Agak lama juga aku ingin menulis tentang penyanyi Aishah tetapi alasan lemah aku adalah tak punya masa. Kadangkala otak tepu juga bila mengadap laptop saban hari. Ada ketika dah mula menulis sebaris, hilang pula apa yang nak dikarangi.
Aku peminat Aishah sejak namanya menjadi sebutan sebagai penyanyi kumpulan 'Aishah & The Fan Club'. Ketika itu aku sangat bangga dengan kejayaan Aishah di luar negara kerana ramai wartawan luar negara menganggap Aishah ni berasal daripada Filipina.
Maklumlah, Filipina memang terkenal dengan penyanyi hebat di Amerika Syarikat seperti Lea Salonga, jadi secara automatik mereka memikirkan bahawa Aishah juga dari Filipina. Tidak ya, untuk wanita yang bangga dengan darah kelahiran Malaysia ini.
Ketika itu setiap kali ditemu bual oleh wartawan luar, Aishah dengan bangganya memberitahu dia berasal daripada Malaysia. Tak pernah dia nak kata dia ada darah Filipina, African American atau sebagainya. Dia orang Malaysia!
Ada ketikanya bila kita tulis sesuatu kerana orang 'jolok' dengan ayat-ayat yang kasar dan tidak ada rasa hormat, aku tak anggap ianya satu perkara yang angkuh, mahupun sombong.
Sebelum segelintir anda lahir, Aishah dah membawa nama Malaysia ke persada dunia. Sudah masuk carta di Amerika Syarikat dan Eropah. Sudah buat konsert di depan Mat Saleh. Senang cerita, dia adalah penyanyi daripada Malaysia yang pertama masuk carta Billboard!
Sebelum segelintir anda baru nak meleleh air liur dengan jenama Louis Vuitton, Aishah dah main campak-campak beg jenama tu kat atas pentas masa buat persembahan juara lagu.
Sebelum segelintir anda baru nak belajar tengok TV, Aishah tu sudah dua kali menjuarai Anugerah Juara Lagu, malah menang persembahan terbaik tanpa perlu ada sistem undian daripada peminat dan penonton.
Sebelum segelintir kelab peminat yang wujud macam cendawan lepas hujan dan beli berlori-lori surat khabar untuk undi artis kegemaran, Aishah tu dah pernah menang Artis Paling Popular ABPBH dan tiga kali menang Penyanyi Wanita Popular.
Jadi sebelum anda nak mengutuk dan mengata dia angkuh, baca dulu pencapaiannya. Hadam dulu apa yang pernah dilaluinya dan dihadapinya. Dia bukan berjaya sebab dia anak orang kaya yang mampu buat single bila-bila masa. Dia penyanyi yang masuk pertandingan, tempuhi cabaran dan bermacam-macam lagi untuk capai ke tahap sekarang.
Anda nampak dia menulis macam angkuh, tapi aku nampak seperti orang yang dah lalui macam-macam asam garam. Macam ayah aku cakap, 'Ohh, ayah dulu pergi sekolah jalan kaki 5km setiap pagi'. Tak bermakna apa yang ayah aku cakap tu dia angkuh. Dia cakap dari segi pengalaman yang dia lalui.
Bila aku tengok kembali nyanyiannya dalam satu pertandingan baru-baru ini menyanyikan lagu orang lain, Masya-Allah, merdunya suara Aishah. Malah, lagu itu seperti diciptakan untuknya. Bodoh sombonglah kalau ada yang cuba nak bandingkan nyanyiannya dengan penyanyi asal.
Percayalah cakap aku, Insya-Allah jika lagu ini dapat masuk ke peringkat akhir, Insya-Allah juga Aishah bakal membawa pulang trofi Vokal Terbaik.
Aku tidak kata yang aku bersetuju sepenuhnya dengan semua yang Aishah kongsikan di ruangan media sosialnya, tetapi aku faham. Ya, aku faham. Apa yang dikongsi Aishah adalah reference daripada pengalaman-pengalamannya yang lalu. Dan aku terima.
Tidak susah kalau ada yang tidak bersetuju dengan pendapatnya, bagitahu sebab dan alasan yang konkrit, tapi bukan dengan memaki hamun. Aishah orang lama dalam industri, malah sehingga kini masih lagi memberikan sumbangan yang tak ternilai kepada industri. Bawa berbincang, senang!
Kalau di luar negara, pemain-pemain seni seperti Aishah ini akan diangkat pada satu tahap yang tinggi, tapi aku tidak faham dengan segelintir rakyat Malaysia yang mengagungkan orang luar, tetapi mencemuh legenda sendiri.
Berbeza pendapat tidak bermakna kita mempunyai hak untuk memaki hamun dan mehamburkan kata-kata kesat.
Belajar untuk menghormati!
Jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Instagram Aishah
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024