Laman Utama

Berdepan Tuduhan Edar Dadah, Bekas Penyampai Radio, Ismahalil Hamzah Diperintah Bela Diri

Gempak
27/02/2023
12:50 MYT
Sponsor Banner
Berdepan Tuduhan Edar Dadah, Bekas Penyampai Radio, Ismahalil Hamzah Diperintah Bela Diri
Bekas penyampai radio Ismahalil Hamzah hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lepas.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismahalil, 49, di akhir kes pendakwaan.
Muhammad Jamil, dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mendapati 22 paket dadah yang ditemukan dalam bilik tertuduh (Ismahalil) berada dalam kawalan dan jagaannya.
"Semasa serbuan di bilik itu, tertuduh sendiri mengambil beg, yang mengandungi dadah dari lantai dan memberinya kepada pegawai polis selepas ditanya sama ada terdapat barang salah.
"Kelakuan tertuduh yang mengambil sendiri beg itu dan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan menunjukkan tertuduh mengetahui kewujudan dadah tersebut.
“Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan dadah berkenaan berada dalam kawalan tertuduh.
Justeru, hujahan peguam bela bahawa anak guamnya tidak mempunyai pengetahuan, kawalan dan jagaan dadah berkenaan tidak mempunyai merit," katanya dan menambah keterangan saksi-saksi pendakwaan tidak bercanggah dan boleh dipercayai.
Hakim itu turut memaklumkan kepada tertuduh bahawa bagi tujuan membela diri, dia mempunyai tiga pilihan iaitu sama ada memilih untuk berdiam diri; atau sama ada ingin memberi keterangan di dalam kandang tertuduh yang keterangan secara tidak bersumpah; atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.
Ismahalil kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Selepas mahkamah memberikan keputusan, tertuduh dilihat menangis teresak-esak sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya yang berada di galeri awam.
Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, yang mewakili Ismahalil memberitahu mahkamah, pihaknya akan memanggil seramai lima saksi pembelaan termasuk tertuduh untuk prosiding membela diri yang ditetapkan oleh mahkamah pada 30 dan 31 Mei depan.
Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula Oktober 2022.
Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala Ahmad Zaharil turut dibantu peguam Adi Zulkarnain Zulkafli. - BERNAMA
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024