Laman Utama

Baru 3 Tahun Kembali Aktif, Wanna Ali Okay Tak Popular

Maliah Surip
23/02/2021
11:20 MYT
Sponsor Banner
Baru 3 Tahun Kembali Aktif, Wanna Ali Okay Tak Popular
Nama Wanna Ali saat ini sedang diperkatakan, terutama dalam kalangan penonton drama rantaian Angkara Cinta.
Wataknya sebagai Adira, wanita yang menjadi rebutan antara Luqmanul Haqeem bin Razlan, dua jejaka dengan nama sama telah membuat emosi penonton turut naik.
Apatah lagi, drama yang sepatutnya sudah berakhir pada episod ke 70 itu kini kembali disambung dengan tambahan 45 episod; yang tentunya lebih banyak konflik dan membuat penonton bercampur baur emosi di antara bahagia dan geram.
Pelakon berusia 23 tahun ini mengatakan, walaupun sedar ada peminat yang sudah penat dan berpuas hati dengan pengakhiran naskhah yang diadaptasi dari Filipina ini, namun 45 episod tambahan yang diputuskan Astro tersebut perlu terus ditonton.
"Ini kerana secara peribadi, kami sebagai pelakon juga tidak tahu apa yang akan terjadi dalam episod episod seterusnya.
"Berbanding 70 episod terdahulu, kami semua telah bersedia dengan mental dan fizikal tentang jalan cerita, tetapi selepas disambung, kami tidak tahu. Kami hanya menjalani penggambaran seperti biasa dan tentulah ia masih padat konflik kekeluargaan.
"Dan tentang akan ada yang sudah penat menonton Angkara Cinta selepas 70 episod, itu biasa sebab pasti ada penonton atau peminat yang terus dan setia mengikuti drama ini. Jadi untuk ada dua sisi penerimaan itu normal," kata Wanna Ali kepada Gempak.
Menurut Wanna lagi, cabaran utama menyambung penggambaran drama arahan Hadith Omar dan terbitan Juita Viden Media Group ini di kala pandemik adalah tidak melakukannya di Kuala Lumpur.
Penggambaran telah sebulan dilaksanakan di Perak, dan kerana PKP, kesemua mereka yang terlibat tidak boleh merentas negeri untuk pulang ke Kuala Lumpur misalnya.
"Saya nervous dan happy drama ini ditambah episod. Tapi dalam masa yang sama kami perlu berjauhan dengan keluarga dalam tempoh yang lama. Sekarang, team ini pun dah macam famili kami kerana telah bekerjasama selama lapan bulan sebelum ini," jelas Wanna.
Meski drama Angkara Cinta menjadi salah satu naskhah yang mendapat perhatian, namun nama atau penampilan Wanna Ali masih belum cukup akrab dalam kalangan peminat.
Ditanya mengenai populariti, Wanna mengaku itu bukan keutamaan buatnya. Dia lebih fokus untuk menyampaikan kualiti kerja berbanding populariti.
Katanya yang sudah aktif sejak usia 15 tahun sebagai penyanyi sebelum memperlahankan karier seni demi memberi laluan kepada pelajaran, tiga tahun kebelakangan ini adalah tempoh sebenar dirinya menjadi pelaku seni.
"Sebenarnya saya boleh katakan diri bukan pemain lama dalam industri walaupun sudah mula menyanyi sejak usia 15 tahun.
"Saya hanya benar benar aktif tiga tahun kebelakangan ini. Bukan popular yang saya cari, tapi fokus memberi kualiti dalam setiap penampilan saya.
"Kualiti lebih penting dari popular," kata heroin filem Ada Apa Dengan Dosa ini.
Saat ini Angkara Cinta sedang ditayangkan menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Selain Wanna, drama ini dibintangi Hun Haqeem, Meerqeen, Yuna Rahim, Syazwan Zulkifly, Nina Juren dan ramai lagi.
Instagram: @wannaali_
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024