Berita

Attar Azim Yatim Piatu, 4 Ahli Keluarga Maut Nahas - "Harap Dia Kuat & Tabah..."

Gempak
03/03/2024
08:32 MYT
Sponsor Banner
Attar Azim Yatim Piatu, 4 Ahli Keluarga Maut Nahas - "Harap Dia Kuat & Tabah..."
"Sebaik siap urusan bedah siasat, saya akan memberitahu Attar Azim situasi sebenar yang berlaku. Saya harap dia kuat dan tabah menerimanya," kata Hisham Ab Hamid.
Hisham, 47, adalah bapa saudara kepada Attar Azim Syukran Jamil, 9, iaitu satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan yang mengorbankan empat ahli keluarganya dalam kemalangan di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, tengah hari semalam.
Menurutnya, dia akan meminta kebenaran pihak pengurusan hospital bagi membawa turun Attar Azim menggunakan kerusi roda untuk menatap wajah arwah ibu, ayah serta dua adiknya buat kali terakhir.
"Attar Azim masih perlu dirawat di hospital untuk menjalani rawatan dan dia ditemani nenek serta datuk sebelah arwah ibunya sejak dimasukkan ke dalam pada petang semalam.
"Saya berharap agar Attar Azim diberi kekuatan untuk menerima apa yang berlaku kerana dalam sekelip mata menjadi yatim piatu, namun kami semua akan menjaga serta menyayanginya," katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, Hisham berkata, arwah adiknya, Syukran Jamil Ab Hamid, 35, bersama isteri, Noor Aishah Razali, 35, serta tiga anak mereka dalam perjalanan pulang ke Perak selepas bercuti ke rumah keluarga mentuanya.
"Sepatutnya pada hari ini, kami sekeluarga berkonvoi ke Meru, Klang untuk menghadiri majlis kenduri saudara," katanya.
Menurutnya, arwah adiknya seorang yang periang dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sehinggalah dimaklumkan mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan.
"Sebaik mengetahui kejadian yang berlaku, kami sekeluarga bergegas ke Hospital Sultan Ismail Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
"Kami akan membawa jenazah arwah adik, isteri serta dua anaknya untuk dikebumikan di Felda Trolak, Perak," katanya.
Semalam dilaporkan pasangan suami isteri dan dua anak mereka maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, semalam.
Dalam kejadian pada 1.40 tengah hari itu, pasangan suami isteri dan anak mereka yang maut di lokasi kemalangan ialah Syukran Jamil Ab Hamid, 35; Noor Aishah Razali, 35, dan Lufya Adeena Syukran Jamil berusia setahun.
Seorang lagi anak mereka, Ahya Rafiqi Syukran Jamil, 6, meninggal dunia pada 3.15 petang semalam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.
Sumber: Harian Metro
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024