Laman Utama

Anugerah Industri Muzik Kembali Selepas 5 Tahun Berehat, Buka Pencalonan Untuk Lagu Cina & India Tempatan

Azwa Rahman
01/08/2022
17:36 MYT
Sponsor Banner
Anugerah Industri Muzik Kembali Selepas 5 Tahun Berehat, Buka Pencalonan Untuk Lagu Cina & India Tempatan
Anugerah berprestij, Anugerah Industri Muzik (AIM) kembali untuk musim ke-23 bagi menghargai hasil karya anak-anak seni tanahair selepas kali terakhir penganjurannya pada tahun 2016.
Tempoh bagi pencalonan untuk semua kategori sudah pun dibuka pada 27 Julai lalu dan akan ditutup pada Jumaat ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23, En. Rosmin Hashim, pihak mereka gembira melihat perkembangan positif industri seni negara sejurus selepas pandemik melanda.
“Sudah agak lama pengamal industri muzik tempatan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya, terutamanya penghormatan yang diperolehi dengan memenangi anugerah AIM.
“Sejak 1993, AIM telah dikenali sebagai Anugerah Grammy Amerika yang setaraf di Malaysia, satu-satunya persembahan anugerah tempatan yang memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada pengamal industri muzik tempatan termasuk penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit dan jurutera bunyi, berdasarkan merit dan kualiti di samping membantu merangsang kreativiti dan kecemerlangan dalam penciptaan muzik yang boleh menembusi pasaran antarabangsa”, kata Rosmin.
Rosmin ditemui pada majlis sidang media AIM ke-23 yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Kumpur sebentar tadi.
Dalam pada itu, terdapat dua anugerah terbaharu yang diperkenalkan bagi mengiktiraf karya-karya berbahasa Cina dan India.
“Terdapat perubahan besar dalam cara muzik digunakan dan didengari oleh orang awam. Untuk mencerminkan keluasan muzik yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, kami telah menambah anugerah 'Lagu Cina Tempatan Terbaik' dan 'Lagu India Tempatan Terbaik' dalam kategori anugerah utama.
“Kami juga telah mengembalikan semula kategori ‘Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Asing’, manakala kategori ‘Lagu Paling Banyak Dimuat Turun’ telah digugurkan memandangkan penggunaan muzik pilihan orang ramai adalah melalui penstriman”, tambah Rosmin.
Kategori Anugerah Utama:
1. Artis Baru Terbaik 2. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) 3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) 4. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan) 5. Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu 6. Video Muzik Terbaik 7. Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama 8. Lagu Rock Terbaik 9. Lagu Pop Terbaik 10. Lagu R&B/Hip Hop Terbaik 11. Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik 12. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik 13. Lagu Cina Tempatan Terbaik 14. Lagu India Tempatan Terbaik 15. Lagu Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara 16. Lagu Nasyid Terbaik 17. Lagu Pop Etnik Terbaik 18. Album Terbaik 19. Lagu Terbaik
Anugerah Khas:
1. Anugerah Sri Wirama
Ketegori Pra-anugerah:
1. Kulit Single/Album Terbaik 2. Rakaman Album Terbaik 3. Rakaman Lagu Terbaik 4. Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu 5. Lagu Paling Tinggi Di Strim 6. Lagu Nada Dering Jualan PalIng Tinggi
Bagi pencalonan hasil karya, AIM ke-23 telah dibuka untuk Lagu/Album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang telah dikeluarkan di Malaysia dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.
AIM ke-23 akan disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Astro RIA dan Radio ERA pada hari Ahad, 11 September 2022 pada jam 9.00 malam (Karpet Merah pada 8.30 malam).
Pelanggan Astro turut boleh strim AIM23 menerusi On Demand dan aplikasi Astro GO.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024