Laman Utama

Anggota JPJ Dirempuh Penunggang Motosikal Cedera Di Kepala, Suspek Miliki Lapan Rekod Lampau

Asyikin Mayudin
17/09/2023
23:50 MYT
Sponsor Banner
Anggota JPJ Dirempuh Penunggang Motosikal Cedera Di Kepala, Suspek Miliki Lapan Rekod Lampau
Tular video memperlihatkan penunggang motosikal merempuh seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengundang pelbagai reaksi netizen di laman sosial.
Rata-rata netizen meluahkah rasa simpati terhadap penguat kuasa JPJ itu dan mendoakan agar mangsa tidak mengalami kecederaan yang teruk.
Kejadian berlaku di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Negeri Sembilan pada Ahad dan suspek itu juga didakwa mempunyai lapan rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, JPJ sedang melakukan sekatan jalan raya sebelum suspek, seorang pengawal keselamatan bertindak memecut laju sehingga melanggar anggota penguat kuasa terbabit.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu anggota berkenaan mengalami kecederaan di kepala, bibir dan luka di bahagian anggota badan.
"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan lanjut namun kemudian dibenarkan keluar," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Sehubungan itu, Aidi Sham memberitahu, polis bertindak menahan suspek berusia 25 tahun untuk disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam.
"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu selain cukai jalannya telah tamat tempoh," ujarnya lagi.
Sebelum ini tular beberapa video yang memaparkan anggota penguat kuasa JPJ tersebut terpelanting dan terhantuk di kepala selepas dilanggar seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar