Berita

Ad Hoc & Tanpa Skrip, Jejak Ebit Lew Papar Realiti Di Sebalik Misi Kebajikan Ebit Lew

Maliah Surip
02/12/2020
23:34 MYT
Sponsor Banner
Ad Hoc & Tanpa Skrip, Jejak Ebit Lew Papar Realiti Di Sebalik Misi Kebajikan Ebit Lew
Menjadi figura yang cukup terkenal dengan segala kerja amal, pendakwah Ustaz Ebit Lew kini memiliki program keduanya di kaca televisyen yang dikenali sebagai Jejak Ebit Lew.
Jejak Ebit Lew yang akan memulakan siarannya di Astro Prima pada 7 Disember 2020 ini merupakan kesinambungan daripada program Door To Door milik Ebit.
Namun, melalui Jejak Ebit Lew, penonton dibawa menghayati paparan secara eksklusif di sebalik misi kebajikan yang dilakukan pendakwah ini bersama 20 orang pasukannya serta 4 kru dari pihak produksi.
Tanpa skrip dan dilakukan secara ad hoc, Jejak Ebit Lew akan ditayangkan sebanyak 61 episod. Program tajaan bersama Beras Faiza dan Ez Qurban ini juga dijalankan secara ad hoq dan tanpa skrip.
"Kadang kadang kesian juga dengan kru Astro sebab saya bersama 20 orang anak muda atau pasukan yang membantu saya melakukan kerja secara ad hoc.
"Jadi selalunya sejam sebelum melaksanakan misi, baru kami akan maklumkan kepada kru produksi. Nasib, siapa lambat kena tinggal," ujar Ebit Lew sedikit tertawa saat sidang media Jejak Ebit Lew yang diadakan secara virtual, semalam.
Menurut Ebit Lew lagi, untuk setiap lokasi yang disinggahi demi menghulurkan bantuan, mereka hanya menghabiskan masa sekitar satu atau dua jam untuk urusan memindahkan dan sebagainya sebelum bergerak ke destinasi seterusnya agar mampu melakukan sebanyak mungkin misi bantuan kepada yang memerlukan.
"Walaupun ada yang saya bantu, terutama yang viral sebab mereka memang memerlukan, namun masih banyak juga yang saya kecewakan kerana tidak dapat membantu dan hulurkan pertolongan," kata Ebit Lew.
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, program realiti berkonsep majalah ini akan disiarkan selama 30 minit untuk setiap siaran.
"Dalam 30 minit ini, kami bahagikan tiga kisah atau misi amal yang berlainan tanpa skrip dan seperti yang diperkatakan ustaz, semuanya secara ad hoc," kata Norzeha yang telah merencana projek ini bersama Ebit Lew sejak penghujung tahun lalu.
Tidak hanya sekadar memaparkan realiti di sebalik kerja amal yang dilakukan, Jejak Ebit Lew juga kata Norzeha merupakan sebuah platform untuk menghubungkan masyarakat asnaf dan komuniti daif yang memerlukan bantuan dengan badan-badan kebajikan serta membuka ruang dan peluang kepada pihak yang ingin turut sama menghulurkan sokongan.
"Secara keseluruhan, besar harapan kami agar program ini mampu memberikan inspirasi dan contoh teladan yang baik kepada para penonton untuk turut sama berbakti kepada masyarakat," lanjutnya.
Rangkaian program Jejak Ebit Lew akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Klip sedutan dan kompilasi paparan isi hati Ebit Lew dapat ditonton melalui kapsul Jejak Xtra Ebit Lew pada setiap hari Isnin, jam 6.55 petang bermula 7 Disember 2020.
Program Jejak Ebit Lew pula akan bersiaran sepanjang 61 buah episod pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam mulai 7 Disember 2020.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024