Laman Utama

Achey Turun Padang Jumpa Guru Sekolah, Sumbang 10,000 Botol Sanitizer, Puji SOP Sekolah Ketat!

ZULHILMI JALIL
01/02/2021
04:50 MYT
Sponsor Banner
Achey Turun Padang Jumpa Guru Sekolah, Sumbang 10,000 Botol Sanitizer, Puji SOP Sekolah Ketat!
Pelawak terkenal, Achey menyumbangkan sebanyak 10,000 botol cecair pembasmi kuman kepada beberapa buah sekolah dan tadika di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Menurut Achey atau nama sebenarnya, Mohd. Nasir Hamzah, 35, usaha tersebut dilakukan atas dasar prihatin dengan warga pendidik dan para pelajar yang berdepan dengan pandemik Covid-19.
"Siapa tak gerun keluar rumah pada saat pandemik dalam tahap membimbangkan. Tiada simptom pun boleh positif Covid-19.
"Bagaimanapun, saya melihat guru tidak pernah patah semangat apabila berkunjung ke PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) Klang, baru-baru ini. Dalam keadaan risau, saya diberitahu mereka tetap menjalankan tugas dengan baik.
"Saya lihat pihak sekolah menekankan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.
Terdahulu, Achey turut turun padang menyampaikan cecair pembasmi kuman di Sekolah Tinggi Klang, Selangor.
Menurut Achey dia memuji tindakan golongan guru yang cukup menekankan SOP yang ketat bagi memastikan keselamatan para pelajar.
"Sebelum ini, kakak saya yang juga seorang guru pernah beritahu SOP yang ditekankan di sekolah. Dalam hati, saya macam tak percaya, tetapi saya baru tahu betapa ketatnya kawalan keselamatan apabila saya sendiri turun padang ke sekolah.
"Guru tidak akan membiarkan tetamu, mereka sentiasa memantau dan mengikut hingga sanggup menghantar kami ke kereta ketika pulang. Ini bagi mengelakkan orang luar bertembung dengan pelajar sekolah. Besar betul pengorbanan guru dalam menjaga keselamatan pelajar," katanya.
Jelas Achey lagi, usaha tersebut juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporatnya sebagai golongan selebriti.
Katanya, dengan cara itu, secara tidak langsung, dia dapat melihat sendiri pengorbanan yang dilalui golongan pendidik.
"Saya turun padang bukan hanya kerana sebahagian kerja duta SugarBomb, tetapi inilah peluang saya mendekati dan mendengar luahan hati guru-guru.
"Orang melihat petugas barisan hadapan berisiko tinggi, tetapi golongan guru juga sama.
"Bahkan, tanggungjawab seorang guru lebih besar apabila bertugas di taska kerana membabitkan golongan kanak-kanak yang tidak tahu bahaya Covid-19. Saya sendiri melihat bagaimana SOP ketat ditekankan dalam taska.
"Kita seharusnya memberi sokongan kepada golongan sasaran tak kira siapa juga mereka. Saya percaya, kita kena jaga kita," katanya.
Cecair pembasmi kuman itu diedarkan bagi kegunaan guru dan pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia menerusi program SugarBomb Care For You.
Antara sekolah yang menerima sumbangan termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Sekolah Menengah Perempuan Kapar, Sekolah Menengah Tinggi Klang, Taska Sirajuddin, Taska Al Munawarrah, Taska Mawaddah dan Taska Al Syabab
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024