,
Read

Tinggalkan Kerjamu, Ayuh ke Sand & Sandals Desaru Beach Resort & Spa

Public Anonymous User
28/12/2017
03:39 MYT

Oleh: Afiza Kamarulzaman

KEPENATAN memandu lebih empat jam dari Kuala Lumpur ke Desaru bagaikan terluntur hilang tatkala hidung mula terbaukan ‘kelazatan’ angin dingin yang menggoda dan telinga mula dihidang kelunakan pukulan ombak menyapa pantai nan memutih. Oh, benar! Saya sudah tinggalkan kesibukan kota yang bingit dan kini berada di ‘syurga’ alam yang sangat permai. Lantas, kaki melangkah lebih laju menuju ke destinasi yang sudah lama dipaksi janji — Sand & Sandals Desaru Beach Resort & Spa yang pasti meninggalkan kenangan menakjubkan!

Bilik Luas Dengan Lengkapan Mewah

Antara elemen penting apabila menjengah hotel atau suite untuk diinapi, pastinya keluasan dan rekaan bilik itu sendiri menjadi keutamaan. Nah, tiada rungutan terhadap itu sebaik memulas tombol pintu bilik di Sand & Sandals Desaru Beach Resort & Spa ini. Resort yang baru menjalani proses renovasi awal tahun ini memiliki 208 buah bilik dengan reka bentuk baru yang berkonsepkan kasual kontemporari.
Bilik dan suites yang disediakan adalah superior room (61unit), superior room with garden (4 unit), deluxe room (55 unit), deluxe room with private garden (20 unit), couple deluxe room (32 unit), couple deluxe room with private garden (8 unit), couple deluxe room with private pool (6 unit), couple suite — duplex (8 unit), family suite — duplex (12 unit) dan executive suite (2 unit).
Ia menjadikan setiap tidurmu nyenyak bermimpikan bulan dan bintang dan ruang rehat yang cukup selesa sama ada untuk menikmati saat ‘me time’ atau bersama si dia juga keluarga tersayang.

Pantai Memutih, Pemandangan Bersih

Walau rasa seperti ‘berat hati’ mahu meninggalkan bilik yang cukup selesa dengan dilengkapi kemudahan serba ada, namun hati juga meronta untuk melihat apa yang menarik di luar sana. Percayalah, berada di sini sebenarnya membuatkan kamu tidak mahu melangkah keluar dari perkarangan Sand & Sandals Desaru Beach Resort & Spa ini kerana semuanya ada di sini.
Hanya dengan beberapa langkah sahaja, kamu sudah tiba di persisir pantai dengan pepasir memutih dan air membiru. Benar, ia sebuah pantai yang masih terjaga cantik dan bersih.
Dari sini juga kamu dapat melihat Laut Cina Selatan yang terbentang luas dan kehijauan Hutan Hujan Tropika yang saujana mata memandang. Ia turut menyediakan balkoni atas bar untuk kamu berpeluang menikmati permandangan kala matahari terbenam. Sungguh ia mengasyikkan sehingga kamu tidak terasa masa berdetik berlalu kala mata ‘kenyang’ menikmati keindahan ciptaan Tuhan ini.

Sarat Aktiviti di Dalam Satu Resort

Ia sememangnya pilihan tepat untuk pasangan yang mahu membawa anak-anak bercuti kerana di sini sahaja memiliki pelbagai kemudahan yang pasti membuatkan setiap jam tidak membosankan baik untuk orang dewasa juga kanak-kanak.
Sand & Sandals Desaru Beach Resort & Spa menyediakan aktiviti dan kemudahan outdoor dan indoor. Antaranya, kolam renang umum, kolam renang untuk kanak-kanak yang dilengkapi gelunsur, gimnasium di tengah-tengah kolam renang, jakuzi yang berhubung dengan The Sunken Bar, game room, bilik permainan kanak-kanak, pusat sukan air (canoe, jet ski, banana boat, viper dan banyak lagi) dan outdoor adventurous activities seperti ATV, paint ball dan sebagainya. Di sini juga disediakan excursion tour kepada mereka yang mahu menikmati keindahan keseluruhan Desaru serta kedai-kedai yang pelbagai.

Makan Sedap di 7 Restoran

Apabila bercuti, aktiviti paling ditunggu selain rehat dan riadah, pastinya MAKAN! Malam pertama di situ, saya mengambil peluang makan malam di Snuk Thai Street BBQ. Ia terletak bersebelahan resort ini sahaja. Antara menu yang kami order ialah ikan siakap kerabu mangga, ketam telur masin, tomyam goong dan lain-lainnya yang sangat enak menepati cita rasa masakan Thailand yang original.
Selain Snuk Thai Street BBQ, di sini juga terdapat pilihan makanan lain seperti di restoran Fortune Kitchen (sajian makanan Cina), Shiokaze Teppan (makanan Jepun), Spices & Herbs (fusion; barat, Melayu, India), The Café, Beach Hut Bistro (makanan barat) dan The Sunken Bar (full bar).

Manjakan Diri di Senses Spa

Ini pastinya aktiviti paling digemari semua wanita di dunia, benar? Saat memanjakan diri di spa. Di Sand & Sandals Desaru Beach Resort & Spa ini juga disediakan kemudahan spa, iaitu Senses Spa. Hanya hubungi mereka untuk membuat tempahan dan nyatakan apa khidmat yang kamu mahukan? Senses Spa yang berkonsepkan Bali ini menyediakan banyak pakej dan rawatan spa menarik antaranya lulur badan, urut badan, urut kaki, mandian herba, mandian susu, rawatan muka dan sebagainya.
Menariknya di sini, ia menyediakan empat bilik rawatan yang sensual. Sama ada outdoor yang beratapkan lelangit membiru untuk pasangan atau bilik bertutup yang privasi. Setiap bilik rawatan dilengkapi tab mandi berbentuk hati, ruang mandi berdindingkan buluh dan sudut rehat yang selesa. Ketika enak dibelai oleh terapi di sini, kamu pasti tidak terasakan waktu berlalu. Bagaikan tuan puteri dilayani dayang istana.
Jangan sekadar membaca coretan ini. Pergilah. Rasai sendiri pengalaman berada di Sand & Sandals Desaru Beach Resort & Spa ini. Percayalah kamu tidak akan kehampaan. Pulangmu nanti pasti dengan minda yang lapang dan jiwa yang tenang. Segala yang kamu impikan pada sebuah percutian idaman terealisasi di sini. Selamat bercuti!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Unitar