,
Read

“Saya Berjanji Untuk Jadi Ahli Parlimen untuk SEMUA Warga Lembah Pantai” — YB FAHMI FADZIL

Public Anonymous User
23/01/2019
03:54 MYT
Oleh: Norhaizan Ahmad

Tell us about your early life and education. Siapa YB semasa di sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti?
Saya lahir di Hospital Assunta, Petaling Jaya dan membesar di kawasan Melayu. Kemudian keluarga kami berpindah-randah ke beberapa tempat. Saya bersekolah di SK Bukit Damansara,seterusnya ke Sekolah Sri Chempaka.
Saya mendapat pendidikan ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan kimia di Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat. Lepas pulang dari Amerika, saya bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat Jepun.
Tapi disebabkan suasana di syarikat tersebut bukan yang saya impikan maka saya keluar dan berkecimpung dalam bidang seni sebagai seorang penulis, pelakon, pengarah dan macam- macam lagi.
Pada 2008, perkara tidak disangka-sangkakan berlaku. Perubahan kuasa berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan beberapa negeri yang lain. Ketika itu, saya dan rakan-rakan terlibat dalam satu projek temu bual secara online.
Nama program itu The Fairly Current Show di PopTeeVee. Individu yang ditemu ramah antaranya Marina Mahathir, Tan Sri Simon Sipaun dan Nurul Izzah.
Dan selepas mewawancara Nurul Izzah, beliau menjemput saya untuk membantu beberapa program seterusnya saya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2010 dan menjadi Setiausaha Politik kepada beliau. Pada 2018, saya pula jadi Ahli Parlimen Lembah Pantai.
‘Nickname’ zaman sekolah menengah, jika ada?
Saya ni ketua pengawas. Mungkin dia orang tak ada nickname sangatlah untuk gelarkan saya sebab takut nanti kena denda, hahaha... Mungkin dia kata saya nerd, kut!
Gambarkan diri anda dalam tiga patah perkataan?
Tak cerewet. Mudah. Minat (dalam pelbagai perkara).
Selain YB, adakah abang dan adik juga berjinak-jinak dengan politik?
Hahaha, tidak! Tapi mereka minat dengan aktivisme politik, di mana mereka selalu ikut sekali dalam program-program himpunan Bersih.
Dianggap sebagai ‘muka baru’ dalam kancah politik Malaysia, namun hakikatnya susur galur keluarga YB sudah lama berkecimpung dalam arena ini misalnya arwah nenek (Hawa Musa) pernah menjawat jawatan Ketua Wanita UMNO Kuala Lumpur.
Mungkin YB boleh kongsikan adakah ini antara pemangkin buat YB untuk berpolitik? Jika tidak, apa yang mendorong YB untuk menceburi bidang ini?
Walaupun nenek saya Allahyarhamah Hawa Musa pernah menjadi ahli UMNO, malah instrumental atau amat berpengaruh hingga mampu membawa masuk tokoh seperti Tan Sri Rafidah Aziz ke dalam UMNO, beliau sudahtidakterlibatdalampolitikpada ketika saya lahir dan membesar.
Apa yang sebenarnya mendorong saya adalah berlakunya Reformasi pada 1998; pada usia 17 tahun, saya mula melihat pelbagai perkara yang berlaku dalam negara, dan merasakan saya perlu melakukan sesuatu untuk bersuara.
Seterusnya, semangat Reformasi itu menggalakkan saya menceburi bidang seni, di mana saya meluahkan fikiran dan perasaan tentang isu-isu semasa di atas pentas teater.
Akhirnya, dari teater saya memasuki bidang politik apabila saya dijemput saudari Nurul Izzah untuk menjadi setiausaha politik beliau pada tahun 2010.
Apa yang telah dipelajari daripada Reformasi 1998. Kongsikan?
Perjuangan membawa perubahan memang memerlukan pengorbanan: masa, tenaga, wang ringgit, malah juga nyawa.
Begitu ramai yang saya kenal yang telah meninggalkan perjuangan sebelum kejayaan 9 Mei 2018, tetapi keterlibatan mereka selama ini sudah pasti menjadi memori indah dan pembakar semangat untuk terus berjuang menegakkan keadilan di bumi Malaysia Baharu ini.

Walau kurang dikenali ketika bertanding di Parlimen Lembah Pantai, namun YB menang dengan majoriti besar. Pada pendapat YB, atas faktor apa kemenangan ini memihak kepada YB? Dan adakah kemenangan ini disebabkan pengaruh YB Nurul Izzah?
Pada PRU ke-14, YB Nurul Izzah bertanding di Permatang Pauh. Dan saya mengambil alih Lembah Pantai secara rasmi pada hari penamaan calon.
Memang kami ada usahakan sesuatu untuk lebih mendekatkan saya dengan orang ramai, tapi cuma pada waktu berkempen orang ramai mula mengenali saya.
Salah satu daripada taktik ataupun strategi rakan-rakan adalah memasang billboard yang memaparkan wajah saya. Dari situ orang ramai dah mula mengenali saya.
Saya pernah terserempak dengan seorang budak sekolah umur mungkin sekitar sembilan atau 10 tahun di sebuah kedai, bila dia tengok saya, dia terus kata, “Eh, ini abang yang dalam poster tu, kan?” Jadi,saya tahu strategi menaikkan poster itu sangat berkesan.
Namun saya rasa kemenangan PRU14 itu atas faktor rakyat, bukan semata-mata parti atau individu. Memang rakyat mahukan perubahan, saya tengok segenap lapisan, itu yang mereka idamkan dan itu menjadi harapan.
Apakah tugas pertama yang dilaksanakan sebaik bergelar Ahli Parlimen Lembah Pantai?
Pada Jumaat pertama selepas PRU14, saya telah turun untuk solat Jumaat di Masjid Jamek Khadijiah di Pantai Dalam. Lepas solat Jumaat,saya telah memberitahu hadirin bahawa saya berjanji untuk menjadi seorang Ahli Parlimen yang ‘buta warna’ — iaitu saya tidak kisah sama ada mereka memilih ‘biru tua’, ‘biru muda’, ‘hijau’, ‘kelabu’, atau langsung tidak memilih apa-apa pun — yang bermakna saya berjanji untuk menjadi Ahli Parlimen untuk SEMUA warga Lembah Pantai.
Pada hari Isnin pertama selepas PRU14, saya dan dua Ahli Parlimen lain telah bertemu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan mendapatkan komitmen beliau untuk mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang menjadi salah satu janji saya dalam manifesto di Lembah Pantai.
Menggalas tugas sebagai wakil rakyat memerlukan komitmen tinggi. Macam-macam karenah penduduk Lembah Pantai yang perlu dikendalikan. Kongsikan ‘task’ paling mencabar dalam meladeni karenah mereka?
Saya telah dapat banyak panggilan dan pelbagai permohonan, malah ada yang meminta saya mengalihkan kenderaan di PPR yang menghalang lalu- lintas, ada yang meminta saya membaiki internet di tempat kerja, ada yang mengharapkan kerja.
Saya pernah keluar tengah malam untuk melihat sendiri tapak projek yang bekerja lebih daripada masa yang ditetapkan, dan saya juga pernah mengawal lalu-lintas di Lucky Garden kerana penduduk dan pengguna terkeliru dengan projek alih lalu-lintas yang sedang diusahakan!
Bagi saya, semua permohonan dan permintaan ini adalah cabaran dan sebahagian dari realiti menjadi seorang wakil rakyat, yang saya terima dengan dada terbuka.
Punya idola dalam arena politik tanah air? Jika ada kenapa memilih beliau?
Semestinya Datuk Seri Anwar Ibrahim, memandangkan beliau telah banyak berkorban dan lama menempuh pelbagai cabaran, dugaan, fitnah dan mehnah untuk meneraju dan memacu gerakan Reformasi walau dari dalam penjara.
Beliau istiqamah dalam perjuangan walau telah dipenjara sedekad umur. Beliau adalah Bapa Reformasi Malaysia.
Pada masa yang sama, saya menghormati falsafah dan pendirian YAB Tun Dr Mahathir, yang meneraju tampuk kepimpinan negara. Antara yang paling saya minati adalah pandangan beliau bahawa “bila semua orang tidak dapat semua yang mereka mahu, tapi setiap pihak ada mendapat sesuatu, maka semua menang” (when no one gets everything they want, but everyone gets something, then everybody wins).
Ini adalah pandangan yang matang dan pragmatik.