gaya hidup
Pengalaman Berpantang Dalam BANJIR — Anis Hanya Mampu Tawakal Dalam Sisa Sakit Beranak dan Kesejukan
Besarnya dugaan Allah bagi penghujung tahun ni. Tak pernah sangka jadi mangsa banjir. Dari malam kejadian WhatsApp tak sunyi daripada berita dan info banjir di kawasan rumah kami di Taman Rafflesia 1, Shah Alam ini.
Pada 18 haribulan, jam dua petang kami anak-beranak lari balik rumah Mak di Kuala Lumpur dengan harapan untuk berteduh. Dengan masih bersisa sakit bersalin, dalam pantang, anak yang masih kecil dua orang, bersama mak dan kakak yang datang untuk tolong jaga waktu berpantang akhirnya kena bergegas selamatkan diri.
Niatnya memang nak tunggu lagi tapi mujur suami buat keputusan untuk keluar dari rumah. Sarat kereta dengan barang-barang penting dan perlu. Rumah Shah Alam kami tinggalkan dengan hati yang sangat berat.
Keluar dari pagar rumah, nampak orang-orang kampung angkut barang untuk cari tempat lebih selamat. Rumah? Tenggelam dek banjir. Sayu sangat hati tengok parit yang penuh air, melintasi penduduk taman yang berwajah sugul, tengok rumah yang semakin ditenggelami air.
Pertolongan tak datang serta merta. Ada suami yang panik sampai tak tau nak buat apa. Ada jiran stuck dalam kereta tak boleh ke mana-mana dan ada jiran yang paling akhir sekali baru tahu dia stuck kat rumah tanpa kami tahu khabar berita!
Kredit foto: Anis
Tak sempat kering air mata memikirkan diri yang jadi mangsa banjir. Macam dalam mimpi. Malam itu pun, saya tidurkan anak-anak seorang diri. Suami nak balik selamatkan barang-barang. Malangnya, hanya bot bomba yang dibenarkan ada di kawasan rumah.
Boleh dibayangkanlah macam mana keadaan rumah kami kan? Aali (anak sulung) pun sempat berdoa, supaya Allah munculkan matahari supaya banjir tak ada lagi.
“Aali doa supaya hujan berhenti, kesian kat Aali, mummy, Abah dan adik”, katanya.
Dugaan ni betul-betul menguji diri sendiri. Kuat ke hadapi semua ni? Dugaan ni juga menguji sejauh mana keprihatinan org lain terhadap mangsa seperti kita. Grup whatsapp taman tak pernah sunyi.
Kami hanya ada 'kami' bila semua dugaan ini berlaku sebelum ahli keluarga lain datang hulur pertolongan. Yang Hawa masing-masing beri moral support dalam grup, dan kaum Adam terus menjaga ahli keluarga sehabis baik. Malah, mereka pun menjaga ahli keluarga orang lain juga sebab saat itu kita memang ada kita je.
Episod ni belum habis. Macam ada plot yang semakin panas. Pencawang elektrik terbakar, air pasang, banjir lebih besar dan hujan yang berpanjangan. Selingan untuk episod-episod ini, entah apa lagi. Doakan kami, mangsa-mangsa banjir ni kuat dan tabah untuk hadapi dugaan. Jiwa kami tengah rapuh, sangat-sangat rapuh. Kami berserah kepada Allah.
Kredit foto: Anis
InsyaAllah, hari ini kami akan pulang melihat keadaan rumah. Walaupun masih dalam keadaan berpantang dan serba lemah, tapi tetap ingat kat rumah. Harap-harap semuanya okey. Doakan kami semua.
"Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon kebaikannya daripada Engkau dan kebaikan yang terdapat di dalam apa yang Engkau hsntarkan bersamanya dan aku Berlindung kepada Engkau daripada keburukannya dan keburukan yang terdapat di dalamnya, serta keburukan apa yang Engkau hantarkan bersamanya.."
Must-Watch Video