,
Tempatan

Toyota Rai Jualan Corolla Ke-50 Juta, 300,000 Unit Adalah Pasaran Malaysia

Erywan
17/08/2021
04:25 MYT
Sejak mula, Toyota sudah menjangkakan Corolla akan menjadi sebuah model global. Tidak hanya akan dieksport dari Jepun, ia malah akan turut dipasang di banyak negara seperti Malaysia.
Pemasangan tempatan dilakukan daripada pek bahagian terlerai sepenuhnya (CKD) dan dalam proses itu, teknologi berharga sudah dipindahkan yang membantu merancakkan lagi pertumbuhan industri di negara yang terbabit.
Maka pada 1965, ketika kerajaan mempelawa pengeluar kenderaan untuk memasang produk mereka di Malaysia, Toyota menjadi antara yang terawal untuk menyahut seruan itu.
Syarikat mempunyai model yang sesuai untuk tujuan itu, iaitu Corolla. Bagi pemasangan tempatan Corolla, Toyota berbincang dengan Champion Motors yang membina sebuah kilang pemasangan di Shah Alam, Selangor.
Dimiliki oleh Inchcape Group ketika itu, kilang Champion Motor - yang kemudian ditukar namanya kepada Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) - turut juga memasang beberapa kenderaan jenama lain sebagai kontraktor.
Dalam tahun awalnya, ASSB mempunyai kadar pengeluaran tertinggi di negara ini dan dengan sambutan positif terhadap Corolla ketika diperkenalkan pada 1968, model berkenaan mula menjadi model utama yang dikeluarkan dari ASSB.
Model Toyota lain ditambah dari tahun ke tahun, meningkatkan lagi populariti Toyota dalam kalangan warga Malaysia dan berjaya meletakkannya sebagai jenama No. 1 menjelang 1970-an, dengan Corolla menjadi yang paling laris di negara ini.
Sehingga kini, kira-kira 300,000 unit Corolla dijual dalam pasaran Malaysia, menjadi sebahagian daripada 50 juta unit yang sudah dijual di seluruh dunia.
Hampir semua generasi Corolla telah dipasang di Malaysia, sementara sejak 2008 pula, model berkenaan diimport sebagai CBU dari Thailand.
Dekad antara 2010 dan 2020, Corolla menyumbang sebanyak 6 peratus daripada jualan keseluruhan kenderaan Toyota di negara ini, dengan model generasi ke-10 dijual antara tahun 2006 hingga 2013 menjadi generasinya yang paling laris di Malaysia setakat ini. Sebanyak kira-kira 40,000 unit sudah terjual sepanjang model berkenaan berada dalam pasaran.
Dalam tempoh 55 tahun Corolla berada dalam pasaran, populariti berterusannya membuktikan bahawa asas falsafah di belakang model ini ada kebenarannya.
Bagaimanapun, rekaan asalnya telah berevolusi dari satu generasi ke generasi yang lain untuk memenuhi perubahan citarasa dan gaya hidup pelanggan Malaysia.
Contoh terdekat adalah pengenalan Corolla Cross tahun lalu, sebagai maklum balas kepada peningkatan populariti SUV. Ini kali pertama bentuk badan kenderaan seumpama itu ditawarkan bagi sebuah model terlaris sepanjang zaman di peringkat dunia.
Pengenalan Corolla Cross untuk pasaran Malaysia juga membolehkan UMW Toyota Motor untuk menyediakan ciri keselamatan dipertingkat seperti yang diinginkan oleh pengguna.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Unitar