,
Antarabangsa

Totem Automobili Bina Alfa Romeo GT Junior 1300 Versi Elektrik, Boleh Pandu 320Km Sekali Cas

Erywan
21/04/2020
03:49 MYT
Totem Automobili sedang mengusahakan satu projek untuk mengubah sebuah kereta klasik Alfa Romeo GT Junior 1300 dengan menggunakan trenkuasa elektrik 518hp (386 kilowat) dengan tork 940Nm.
Ini membolehkan kereta dua pintu itu mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa anggaran 3.4 saat. Pek bateri seberat 350 kilogram yang digunakan mempunyai kapasiti 50.4-kilowat sejam.
Totem Automobili menganggarkan kereta ini boleh dipandu sejauh 320km. Bagi membantu mengurangkan berat kereta, syarikat memilih penggunaan material gentian karbon pada panel badan dan hanya mengekalkan 10 peratus casis asal.
Tidak menggunakan sistem suspensi hadapan asal iaitu jenis double-wishbone, Totem Automobili memilih tetapan strut MacPherson dengan gegelung Bilstein Clubsport. Syarikat juga menawarkan pilihan suspensi angin jika mahu. Bahagian belakang kereta mendapat kerangka baharu yang menempatkan motor elektrik dengan satu suspensi multi-link aluminium.
Totem Automobili juga mengubah suai rekaan asal kereta ini. Pertama, hud kini diratakan mengikut bentuk badan kereta berbanding model asal yang memiliki lid kecil (di hadapan hud).
Ia juga mempunyai empat lampu utama di hadapan iaitu tambahan dua unit bersaiz lebih kecil berbanding model standard dengan dua lampu utama bersaiz besar.
Gril Alfa Romeo ini tidak mempunyai bar melintang seperti model asal. Rim tempaan kereta baharu ini berukuran 17 inci dibina dengan rekaan corak pelbagai lubang.
Totem Automobili tidak mendedahkan rekaan dalaman kabin tetapi menyatakan ada dua unit skirn berukuran 3.5 inci yang memaparkan maklumat instrumen. Tetingkap dibuka dengan menekan butang, pelanggan juga ada opsyen menentukan jenis pendingin hawa.
Totem Automobili bercadang untuk membuat debut model GTe ini di Goodwood Festival of Speed tetapi acara itu sudah dibatalkan. Kini, semua menunggu bila ia akan dipertonton.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video