Antarabangsa
Kia Stonic Facelift Diperkuatkan Enjin 1.0 Liter Turbo, Kecil Tapi Padu!
Kia Stonic kini menerima penambahbaikan yang menyeluruh bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran SUV segmen B di Eropah.
Untuk model tahun 2021, crossover kompak itu boleh didapati dalam versi EcoDynamics yang menampilkan gabungan enjin Smartstream 1.0-liter turbo dan sistem mild-hybrid (MHEV) 48 volt.
Enjin terbabit tersedia dalam versi 100PS dan 120PS, manakala tork pula bergantung pada transmisi yang dipilih.
Sebagai contoh, versi 120PS yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan mempunyai 16 peratus lebih tork iaitu 200Nm. Transmisi manual pintar (iMT) yang menggunakan sistem ‘clutch-by-wire’ turut ditawarkan.
Selain itu, Stonic menerima pilihan enjin Smartstream bukan hibrid iaitu 1.0-liter turbo T-GDI dengan 100PS dan 1.2-liter NA yang menghasilkan 84PS. Enjin T-GDI itu boleh dipesan dengan transmisi manual enam kelajuan atau DCT tujuh kelajuan.
Walaupun reka bentuk luaran dan dalaman dikekalkan, pelanggan kini mempunyai lebih banyak pilihan skema warna untuk badan dan bumbung, serta rim baharu.
Bagi ruang kabin, Stonic hadir dengan panel instrumen digital 4.2 inci dan skrin sentuh sistem infotainemen berukuran lapan inci dengan ciri navigasi dan sistem telematiks UVO Connect.
Kini dalam fasa kedua, UVO Connect membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat trafik secara langsung, ramalan cuaca, harga minyak, lokasi dan harga tempat letak kereta serta bermacam-macam lagi. Sistem ini serasi dengan telefon pintar Android dan Apple.
Aspek keselamatan turut diberi penekanan menerusi penambahan sistem bantuan pemanduan canggih (ADAS) yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Driver Attention Warning (DAW), Blind-Spot Collision Warning (BCW), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Intelligent Speed Limit Warning (ISLW), Smart Cruise Control (SCC) dan Lane Following Assist (LFA).
Stonic baharu akan memasuki pasaran Eropah bermula suku ketiga tahun ini. Sejak diperkenalkan pada 2017, ia telah menjadi model keempat terlaris Kia selepas Ceed, Sportage dan Picanto dengan jualan melebihi 150,000 unit di benua itu.
Must-Watch Video