Antarabangsa
BMW lancar model Plug-in Hybrid baharu dengan X1 xDrive25e
BMW terus mengembangkan portfolio Plug-in Hybrid mereka, kali ini menerusi pengenalan X1 xDrive25e bagi pasaran Eropah.
Model ini dipacu oleh rangkaian kuasa eDrive yang merangkumi enjin TwinPower Turbo 1.5-liter tiga silinder dan sebuah motor elektrik yang terletak pada gandar belakang. Dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, enjin pembakaran dalam itu menjana 125hp dan 220Nm.
Sementara itu, motor elektrik tersebut pula menyumbang kuasa tambahan sebanyak 95hp dan 165Nm pada roda belakang. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 220hp dan 385Nm.
Dari segi prestasi, X1 xDrive25e memerlukan tujuh saat untuk memecut dari 0 hingga 100km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 192km/j.
Bateri lithium-ion berkapasiti 9.7kWh membolehkan crossover ini bergerak dengan kuasa elektrik semata-mata sejauh 57km. Menurut BMW, pek bateri itu mengambil masa kira-kira lima jam untuk dicas sepenuhnya menggunakan soket konvensional atau 3.6 jam dengan BMW i Wallbox.
Seperti model Plug-in Hybird BMW yang lain, X1 xDrive25e didatangkan dengan tiga mod pemanduan hibrid iaitu Auto eDrive, Max eDrive dan Save Battery. Dalam mod Max eDrive, di mana X1 dipacu 100 peratus oleh kuasa elektrik, ia berupaya untuk memecut sehingga 135km/j.
Selain daripada tiga mod terbabit, model ini juga mempunyai mod Comfort, Sport dan Eco Pro yang ditugaskan untuk mengubahsuai tindak balas enjin dan juga pelarasan sistem suspensi.
Satu daripada ciri keselamatan utama yang terdapat pada X1 xDrive25e adalah sistem Perlindungan Pejalan Kaki Akustik. Berfungsi dalam mod elektrik pada kelajuan sehingga 30km/j, sistem ini akan mengeluarkan bunyi bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain tentang kehadirannya.
Must-Watch Video