Berita
Tersingkir MLM 2018, Hilmy Ashley Mahu Terus Berlawak Secara Jelajah Ke Seluruh Negara
Peserta solo Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018), Hilmy Ashley mengakui dia tersalah langkah sehingga tersingkir pada saingan minggu kedua lalu.
Hilmy memberitahu dia bertindak menambah idea pada 'sketch' lawak di belakang pentas sebelum tampil membuat persembahan.
"Selepas itu mungkin saya tambah yang baru tapi masih buat yang lama. Jadi, saya kat atas seorang-seorang itu terfikir balik apa yang saya cakap tadi," katanya kepada Astro Gempak.
Jelasnya, dia sedar lawaknya tidak menjadi ketika membuat persembahan di hadapan empat juri dan penonton di Royal Theatre, Shah Alam, Selangor pada malam Jumaat lalu.
"Masa latihan okey, topik bola juga okey apabila saya mula-mula dapat tarik perhatian penonton.
"Tapi ketika lawak mengenai kad, penonton mula 'down' mungkin sebab terlalu dalam. Sepatutnya, saya nak cakap bagaimana rupa 'rappers' menjadi pengadil tapi pergi benda lain," katanya.
Peserta berusia 34 tahun dari Kuala Lumpur ini juga menyatakan membuat persembahan seorang diri lebih mencabar tanpa pasangan untuk membantu.
"Sebenarnya, salah saya juga sebab masa 'content check' saya bagi dua cerita iaitu 'isteri saya' dan 'bola' tapi mereka lebih berminat dengan 'isteri saya' sebab itu lebih peribadi untuk persembahan 'stand up'.
"Cuma, saya ingat nak simpan pada minggu depan untuk tema cinta. Saya dah buat latihan okey dibantu dengan 'backdrop' Jaafar Onn tapi mungkin sebab dari awal dah kurang sebab benda ini berat, jadi ia terasa pada diri sendiri mengambil risiko," katanya.
Meskipun tersingkir awal, Hilmy menyatakan dia tetap akan terus membuat persembahan komedi 'stand up' dan berhasrat melakukannya secara jelajah di seluruh negara.
"Tengok juga jika ada apa-apa tawaran, saya 'move on'," katanya.
Jangan lupa menyaksikan MLM 2018 pada setiap Jumaat jam 10 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan ‘on demand’.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak
Must-Watch Video