HIBURAN
Zynakal Jaga ‘Circle’ Elak Terpalit Kontroversi Mampu Calar Karier - “Saya Tak Sempurna”
Penyanyi, Zynakal mengakui terbit rasa risau sekiranya dirinya terpalit dengan kontroversi panas sehingga mampu mencalarkan namanya dalam industri.
Menurut Zynakal atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli, 27, dia menganggap perkara tersebut adalah ujian kerana menyifatkan setiap manusia tidak lari dari membuat silap.
“Risau itu ada sebab bagi saya tahu kita ini tidak sempurna, ada buat salah silap tanpa kita sedar.
“Sebenarnya kita tak fikir panjang, sekiranya ia terjadi pada saya, itu sebab Allah nak tunjukkan perangai sebenar saya, kita lupa diri.
“Saya pernah begitu, tipulah kalau tidak rasa lupa diri sekejap, pada akhirnya kita tahu kita buat silap dan tahu bagaimana untuk hadapinya,” katanya kepada Gempak.
Zayn ketika ditemui selepas majlis sidang media konsert Hype Republic yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara, pada Selasa.
Pelantun lagu Sakit itu memaklumkan dia sentiasa menjaga diri dengan menjaga batas dengan orang sekeliling.
“Saya berhati-hati, dan sekarang saya banyak buat hal sendiri saja. Ia bukan proses matang tetapi mungkin proses membesar.
“Keliling saya juga lebih kecil, saya jaga sekeliling saya, berkawan dengan orang-orang yang saya selesa,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zynakal bakal menghangatkan pentas Konsert Hype Republic yang dijadualkan berlangsung pada 13 Disember ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Turut memeriahkan malam itu ialah barisan artis popular seperti Kmy Kmo, Luca Sickta, Luqman Podolski, Yonnyboii, Bunga Isme, Zubir Khan, KOI dan seorang penyanyi misteri yang masih dirahsiakan.
Must-Watch Video