BERITA
Zayn Rayyan Mati Dijerut, Bukan Lemas: Saksi Pakar Perubatan
Kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin meninggal akibat dijerut kemungkinan menggunakan tali, lanyard atau kain dipintal dan bukan disebabkan mati lemas.
Dapatan itu diperoleh Pakar Perubatan Perunding Forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan yang melakukan bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak berpakaian seragam sekolah dengan lampin pakai buang dan berketinggian 119 sentimeter (sm) serta berat 17.2 kilogram pada 12 tengah hari, 7 Disember 2023.
Perkara itu dimaklumkan beliau yang sebelum ini bertugas di Hospital Sungai Buloh selaku saksi pendakwaan ke-27 itu ketika sesi pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Dr Rohayu, 54, yang kini bertugas di bahagian sama di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang, Johor memberi keterangan pada hari ke-15 prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Syahliza Warnoh.
Dr Rohayu berkata kesan jerutan pada leher yang bertindih terletak enam sm di bawah telinga kanan dan kiri, otot leher dan kelenjar tiroid di bawah kesan jerutan ini turut lebam.
"Kesan jerutan ini boleh terhasil daripada sebarang objek dibentuk contohnya tali, lanyard atau kain dipintal. Malah kedudukan jerutan adalah sama iaitu enam sm di bawah telinga kanan dan kiri, maka kesan ini adalah horizontal (melintang).
"Berbeza dengan gantung, kesannya adalah oblique (serong) dan berbeza di telinga kanan kiri si mati, tiada lebam otot leher kerana gantung adalah proses pasif, maknanya sebarang objek dibentuk keliling leher ianya diketatkan oleh berat badan si mati dan tarikan graviti," katanya.
Dr Rohayu berkaya mayat Zayn Rayyan menunjukkan kesan trauma tumpul dan tajam termasuk kesan jerutan di leher.
Katanya, kesan trauma tumpul adalah lebam pada dahi, kedua-dua bibir atas dan bawah, belakang kepala, rahang, tengkuk, belakang bahu kanan, di antara kedua belikat, belakang badan, dada, abdomen, sisi kanan badan, lengan bawah kanan dan lengan atas kiri.
"Malah kedua-dua belah mata turut lebam. Kesan trauma tajam adalah luka potongan pada telinga kiri, luka tikaman dan luka hirisan di belakang telinga kiri sehingga belakang kepala sebelah kiri, luka hirisan pada belakang kepala sebelah kanan, luka hirisan pada lengan kanan atas dan luka hirisan pada lengan bawah kanan," katanya.
Dr Rohayu berkata kesan trauma tumpul dan tajam itu tidak mematikan tetapi penderaan fizikal ke atas arwah Zayn Rayyan.
Katanya, tiada luka pertahanan atau luka menumbuk dan menendang dilihat pada arwah Zayn Rayyan.
"Selain itu, terdapat benda asing di temui pada rongga tenggorok pernafasan sebelah kanan dan dalam perut arwah," katanya.
Dr Rohayu berkata lelangit mangsa turut lebam menunjukkan benda asing dimasuk atau ditolak secara paksa ke dalam mulut.
Walaupun begitu, katanya benda asing berkenaan tidak membawa kepada kematian kerana Zayn Rayyan bukannya tercekik akibat kemasukan benda asing.
"Di bahagian dubur mangsa juga terdapat luka koyak dan lelasan akibat kemasukan objek tumpul tetapi ianya tidak mematikan," katanya.
Dr Rohayu berkata kecederaan Zayn Rayyan adalah 'perimortem' atau kecederaan baru sejurus sebelum kematian kerana terdapat kesan reaksi sistem pertahanan badan yang dapat dilihat melalui pemeriksaan mikroskopik.
Katanya, kedutan pada kulit tapak tangan dan kaki kesan rendaman air iaitu kulit yang berkedut-kedut atau dinamakan 'washer woman appearance' bukannya punca kematian kerana arwah tidak mati lemas di dalam air, malah tiada penyakit serius pada organ dalaman ditemui.
"Jerutan di leher yang melebamkan otot leher dan kelenjar tiroid menunjukkan ianya cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen untuk ke paru-paru dan otak yang melemaskan arwah mengakibatkan kematian.
"Dengan ini, saya simpulkan sebab kematian sebagai 'ligature strangulation' (jerut)," katanya.
Sumber: Berita Harian
Must-Watch Video