HIBURAN
Yuna Rahim 'Anxiety' Kembali Masuk Set Selepas Dua Tahun Rehat - “Saya Kena Elak Minum…”
Selepas dua tahun berehat demi memberi sepenuh perhatian kepada cahaya mata sulung, pelakon, Yuna Rahim kembali menghiasi kaca televisyen.
Kongsi Yuna atau nama sebenarnya, Shafiqah Husna Abdul Rahim, 30, dia memaklumkan kembalinya ke set penggambaran tidak mudah apabila mendedahkan dia kini bergelut dengan masalah anxiety dan overthinking.
“Jujur cakap, saya rasa macam ‘hilang’ diri. Sebelum ini saya sudah terbiasa sibuk dengan kerja tetapi apabila masuk semula selepas melahirkan anak tidak dinafikan anxiety itu memang ada.
“Saya kerap overthink macam ‘betul ke lakonan saya ini?’. Berbanding dulu, saya tiada masalah untuk lakonkan sesuatu watak itu.
“Sekarang, saya rasa macam orang yang baru belajar dan selalu tertanya-tanya lakonan saya okay ke tidak,” katanya kepada Gempak.
Yuna berkata demikian ketika ditemui pada sesi media dan Meet & Greet bersama pelakon drama Viu Lambaian Huda dan Mitos Cinta Akira, pada petang Khamis.
Pelakon drama Lambaian Huda itu turut berkongsi beberapa perkara yang membantunya menguruskan tekanan, termasuk mengelakkan pengambilan kafein.
“Saya kena elak minum kopi. Sebab kopi memang akan ‘trigger’ anxiety.
“Kalau mahu elakkan anxiety, jangan lambat datang ke set penggambaraan. Selalu kena tepati masa,” ujarnya.
Lambaian Huda membawa penonton menyelusuri kisah penuh keinsafan dan pencarian hidayah, diadaptasi daripada novel karya penulis tersohor Mohd Nazmi Yaakub.
Must-Watch Video