DRAMA
Watak Azhar Dalam ‘Dzikir’ Paling Mencabar Buat Fikry Ibrahim - “Nampak Senang Tapi…”
Pelakon Fikry Ibrahim menyifatkan watak terbarunya dalam drama bersiri Dzikir sebagai antara yang paling mencabar dalam kerjayanya setakat ini.
Membawakan watak sebagai Azhar Mansur, seorang nelayan yang hidup sederhana bersama isteri tercinta, Dzikir (lakonan Fasha Sandha), Fikry mengakui ia bukan sekadar watak biasa, sebaliknya satu pengalaman yang mengajarnya erti ketabahan seorang lelaki kampung dalam membina kehidupan dari bawah.
“Saya memegang watak Azhar bin Mansur, seorang nelayan lepasan STPM yang tak dapat teruskan pelajaran sebab kena jaga ibu selepas ayah meninggal. Dia berkahwin dengan Dzikir dan dikurniakan anak, tapi hidup mereka serba sederhana.
“Ini kali pertama saya jadi nelayan. Nampak macam senang tapi susah nak buat penonton percaya. Dari cara bercakap, perwatakan, semua kena kena betul. Mujur penggambaran banyak di Kedah, saya dapat belajar dengan nelayan di sana,” katanya.
Menariknya, penglibatan Fikry dalam drama ini bukanlah sekadar lakonan semata-mata.
Malah, hasil daripada pengalaman mendekati komuniti nelayan semasa penggambaran membuatkan dia menyimpan hasrat untuk membuka kedai ikan suatu hari nanti.
“Seronok sebab berlakon di area Kedah dan saya boleh belajar dengan nelayan-nelayan di sana. Saya bercita-cita nak buka kedai ikan. Saya banyak berbual dengan mereka di sana, dan bila bercakap tentang seorang nelayan, kebanyakan sumber income mereka sederhana dan kurang.
“Saya mula faham bagaimana mereka yang hidup dalam kekurangan tetap cuba beri yang terbaik untuk keluarga. Itu yang menyentuh hati saya,” kongsinya.
Bercerita mengenai gandingannya dengan Fasha Sandha, Fikry menyifatkan aktres itu sebagai pelakon yang sangat komited dan profesional.
“Kalau satu perkataan boleh gambarkan Fasha, saya pilih ‘komited’. Chemistry kami dalam drama ini bagaikan aur dengan tebing. Memang menjadi,” katanya lagi.
Mengulas mengenai jalan cerita, Fikry berkata drama Dzikir memberi kelainan daripada drama Melayu tipikal yang sering tertumpu pada kisah kecurangan atau konflik keluarga.
“Kelainan drama ini adalah di mana selalunya drama-drama lain berkaitan dengan curang, penyondol atau mak busuk hati tetapi untuk kali ini, 1 wanita dilema kehilangan suami dan ingin teruskan perjuangan hidup dengan lelaki baru, tetapi tiba-tiba suami yang hilang selama ini kembali pulang dan tuntut cinta lama.
“Dilema memilih lelaki baru atau kembali bersama yang lama. Sangat susah situasi itu,” tambahnya lagi.
Drama Dzikir terbitan Country & Universal (penerbit Jalena Rejab) diarahkan oleh Harris Fadzilah dan ditulis oleh Azlina Pa’wan.
Selain Fikry Ibrahim, barisan pelakon utama terdiri daripada Fasha Sandha sebagai Dzikir, Keith Foo (Tuan Kamil), Anne Abdullah (Puan Mimie), Cahaya Nilam (Suhana) serta dua pelakon kanak-kanak Alana & Mikaela (Bella & Akira).
Sinopsis Dzikir
Kehidupan Dzikir dan Azhar yang serba sederhana mula diuji apabila Dzikir dipaksa bekerja di rumah lelaki kaya, Tuan Kamil. Tanpa diduga, cinta lama, kecurigaan dan konflik jiwa mula menggoncang rumah tangga mereka. Antara tanggungjawab, cinta dan takdir jadi siapa yang harus dikorbankan?
Tonton Dzikir di Slot Tiara Astro Prima (saluran 105), mulai 19 Mei 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6:00 petang atau strim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi Astro GO dan sooka.
Must-Watch Video