Berita
Usaha Murni! Astro Kasih Sumbang 60 Troli Pendidikan Kepada Pesakit Wad Pediatrik
Pandemik COVID-19 telah memberi impak yang besar terhadap tahap penjagaan dan pengurusan para pesakit di hospital.
Antara yang terkesan adalah pesakit di wad pediatrik, di mana pergerakan pesakit kanak-kanak di wad ini dibatasi dengan penjarakan fizikal dan sosial.
Bagi memastikan pesakit ini terus kekal bersemangat di samping dapat menerapkan rasa ingin membaca dan belajar, Astro Kasih tampil dengan menyumbangkan 60 buah troli pendidikan kepada wad pediatrik di seluruh negara.
Kesemua 60 troli pendidikan tersebut dilengkapi dengan set alat tulis, permainan, buku aktiviti kanak-kanak, dan buku cerita yang sebahagiannya disumbangkan oleh kakitangan Astro dan sebahagian lagi ditaja oleh BookXcess dan Faber Castell.
Sementara itu, IDC Global Holdings Sdn Bhd (Virochem) pula menaja Dispenser Air Cahaya UV Panas & Dingin untuk beberapa hospital terpilih di sekitar kawasan Lembah Klang.
Dengan inisiatif ini, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya, Astro Kasih beriltizam untuk mendorong anak-anak di wad-wad pediatrik agar terus bersemangat untuk belajar melalui buku-buku dan aktiviti yang menarik.
Menurut Pengarah Komunikasi Astro, Tammy Toh, beliau berharap agar sumbangan itu dapat mencetuskan serba sedikit kebahagiaan kepada kanak-kanak tersebut.
“Tahun ini, Astro berusia 25 tahun dan kami ingin memberi penghormatan kepada rakyat Malaysia dan pelanggan yang telah menyokong setia perjalanan kami ini.
“Pelanggan Astro adalah rakan kami dalam perjalanan demi untuk berkhidmat kepada masyarakat dan kami di Astro berharap sumbangan troli pendidikan ini dapat mencetuskan kebahagiaan dan memberi semangat kepada anak-anak Ketika menerima rawatan di wad pada masa yang mencabar ini,” jelasnya.
Tammy mewakili Astro Kasih menyerahkan troli pendidikan yang pertama kepada Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Nur Yasmin Nan Rahimi.
Manakala troli yang selebihnya akan dihantar ke wad pediatrik di seluruh negara sepanjang bulan ini.
Dalam pada itu, Nur Yasmin yang mewakili pihak pengurusan Hospital Canselor Tuanku Muhriz mengucapkan ribuan terima kasih kepada Astro atas sumbangan mereka kepada anak-anak di wad pediatrik.
“Anak-anak sedang melalui fasa yang sukar bagi mereka dengan berada jauh dari sekolah, jadi sumbangan ini pasti akan membuat anak-anak lebih teruja dan boleh mendorong mereka untuk cepat sembuh,” kata beliau.
Yayasan Astro Kasih adalah yayasan tanggungjawab sosial korporat di bawah Astro Malaysia yang mana misinya adalah untuk mengembangkan projek-projek yang memberi impak inovatif yang mampu merubah hidup komuniti dan masyarakat demi meningkatkan kualiti hidup dan hasil sosio-ekonomi.
Must-Watch Video