VIRAL
Tular Kanak-Kanak Dikurung, Diberi Makanan Hampir Basi Di Rumah Anak Yatim
Tular satu rakaman video memaparkan sekumpulan anak yatim dipercayai dikurung di sebuah pusat jagaan di Cheras, Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran video dimuat naik di Instagram, Malaysia Fight League, dia mendakwa kanak-kanak itu dikurung seperti haiwan di tingkat atas pusat jagaan berkenaan.
Menurutnya, mereka turut tidak dibenarkan untuk memberi hadiah atau makanan, selain mendakwa barangan sumbangan juga tidak sampai kepada kanak-kanak terbabit.
“Mereka (pusat jagaan anak yatim) tanya kita untuk sumbang pakaian, jadi kita datang sediakan 22 hadiah, pakaian dan piza tetapi apabila sampai sahaja di sana, hanya separuh daripada mereka yang turun menyambut kami.
“Lebih pelik apabila kami diberitahu tidak dibenarkan memberi hadiah atau makanan kepada mereka kerana anak-anak ini nakal sedangkan beberapa hari lepas penjaga sudah tahu kami akan memberi hadiah dan makanan.
“Penjaga wanita mahu kami tinggalkan barang dan balik tetapi kami tidak puas hati, kami minta duduk sekejap dan cakap dengan anak-anak.
"Mereka beritahu ramai lagi kawan-kawan terkunci dalam bilik di atas, apabila naik, mereka dikurung seperti haiwan,” katanya.
Selain itu, video tersebut turut memaparkan temu bual bersama beberapa kanak-kanak dan mendakwa penjaga berkenaan sering beremosi, selain memberi makanan yang lama atau hampir tamat tempoh kepada mereka.
Ujarnya, pekerja di pusat jagaan itu juga lari dipercayai disebabkan tidak tahan dengan sikap wanita terbabit dan menipu mengenai pembayaran gaji.
“Dia (penjaga wanita) ada bagi makan seperti nasi dan daging tapi makanan ini yang sudah hampir tamat tempoh.
"Penjaga juga lari sebab dia tipu gaji yang sepatutnya RM1,800 tetapi bayar RM1,500.
“Kami juga tidak tahu dia akan bagi atau tidak baju-baju ini kepada kami sebab kami sering dapat baju yang sudah lama sahaja,” ujar kanak-kanak terbabit menerusi video tersebut.
Dalam pada itu, menurut pengguna tersebut, laporan telah dibuat kepada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun sehingga kini masih tiada tindakan yang diambil.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video