TERKINI
Trauma Pembatalan Konsert, Aisha Retno Letak Syarat Pada Penganjur Untuk Showcase - “Memang Saya Terkesan…”
Penyanyi dan komposer, Aisha Retno akui rasa berbelah bahagi untuk menerima tawaran daripada pihak penganjur, LOL Asia untuk mengadakan showcase The Aisha Experience selepas insiden pembatalan konsert solonya pada tahun lepas.
Jelas Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sipulijam apa yang terjadi kepadanya dahulu memberi kesan yang sangat mendalam namun dengan semangat dari insan tersayang dia tetap kuat untuk merima tawaran tersebut.
“Pada awalnya sejujurnya saya ragu-ragu sebab mampukah saya dari segi fizikal dan mental. Saya juga terkesan dengan tragedi dahulu. Mana-mana interview kalau ada soalan ini saya akan teringat, trauma sebenarnya tapi kerana saya sangat mempercayai LOL Asia dan team saya.
“Saya banyak dapat semangat dari keluarga, kawan-kawan dan media jadi disitu saya rasa ramai sahaja yang menyokong saya. Memang saya terkesan dengan kata-kata netizen tapi sampai bila lebih baik kita terus jalan sebab peminat saya dah sokong saya lebih lima tahun tak kan saya nak hampakan mereka dengan terus give up macam ni,” katanya.
Pelantun lagu Tak Adil itu juga mengakui dia mengambil masa yang agak lama untuk memberi kata putus kepada pihak penganjur.
Mengulas lanjut, Aisha turut menyatakan bahawa dia meletakkan syarat kepada penganjur sebelum memberi keputusan itu.
“Orang disekeliling saya menjadi saksi dimana saya rasa sangat berbelah bahagi untuk menerima tawaran showcase ini. Berbulan-bulan juga baharu saya bagi jawapan.
“Syarat saya kepada penganjur hanya mahu lakukan secara kecil-kecilan sahaja, tidak mahu lakukan secara mega sebab saya sendiri tidak pernah terdetik nak buat konsert tapi bila dapat peluang macam ni mungkin rezeki daripada Allah juga yang mana saya kena mula sekarang sebab saya sudah 5 tahun dalam industri dan saya pun nak lancarkan album jadi dah alang-alang tu kita buat showcase terus,” ujarnya.
Terdahulu, Kharisma Music International menerusi Instagram mengumumkan konsert Aisha Retno Malam Sutera yang dijadualkan berlangsung pada 16 November di Zepp Kuala Lumpur dibatalkan kerana jualan tiket rendah.
Bagaimanapun, Aisha menyifatkan tindakan pihak penganjur mengeluarkan kenyataan berhubung pembatalan konsert solonya sebagai tidak profesional.
Katanya, dia mahu meneruskan konsert tersebut namun tidak dapat berbuat apa-apa susulan semua keputusan dibuat tanpa berbincang dengannya.
Namun Yuka tampil menjawab tuduhan Aisha kononnya penyanyi itu tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan atau pembatalan konsert.
Malah Yuka turut mendedahkan penyanyi itu ada berhutang sebanyak RM83,000 bagi menjayakan persembahan di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL) pada Mac lalu.
Dalam perkembangan lain, showcase The Aisha Experience bakal berlangsung pada 20 September depan di Jio Space, Petaling Jaya.
Tiket showcase akan mula dijual bermula 31 Julai di lolasia.bigtix.io
Must-Watch Video